Dedikasi warga pendidik SK Sungai Gelugor kekalkan bangunan warisan hampir 200 tahun

Admin

JIKA dilihat secara luaran, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor yang terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, Kampung Gelugor mungkin kelihatan biasa sebagaimana sekolah rendah yang lazimnya di negeri ini.

Namun, tahukah anda bahawa dalam kawasan sekolah tersebut terletaknya sebuah bangunan dua tingkat yang telah dibina pada zaman penjajahan Inggeris berusia hampir 200 tahun.

Walaupun sudah berusia ratusan tahun, namun bangunan itu kini masih lagi utuh hasil dedikasi dan rasa cinta terhadap sejarah warisan dalam kalangan guru-guru SK Sungai Gelugor.

Zamzuri Ab. Rahman (kiri) menunjukkan sijil dan plak Anugerah Warisan 100 Tahun yang diterima baru-baru ini.

Baru-baru ini, wartawan Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF bersama-sama jurugambar AHMAD ADIL MUHAMAD berkesempatan menemu bual Guru Besar SK Sungai Gelugor, ZAMZURI AB. RAHMAN, 48, untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan usaha guru-guru sekolah tersebut dalam menjaga bangunan warisan itu.

Sejarah

Memulakan bicara, Zamzuri menjelaskan bahawa SK Sungai Gelugor merupakan sekolah Melayu tertua bukan sahaja di Malaysia tetapi juga Asia Tenggara yang mana bukti mengenai perkara itu kini terdapat di sebuah muzium di Vietnam.

“Arca tersebut mengatakan bahawa sekolah ini sebagai sekolah Melayu tertua di Asia Tenggara, tetapi tidak ramai yang mengetahui mengenai perkara itu, namun kami difahamkan bukti itu kini masih ada di muzium dekat Vietnam,” jelasnya.

Bangunan dua tingkat berusia hampir 200 tahun masih terjaga rapi.

Mengikut sejarah awal, SK Sungai Gelugor ditubuhkan semasa zaman penjajahan Inggeris di Pulau Pinang iaitu seawal tahun 1826 oleh pengasasnya, David Brown iaitu seorang pemilik ladang di Gelugor.

Menurut Zamzuri, pada awalnya, Francis Light iaitu pengasas penempatan British di Pulau Pinang menjadikan kawasan Gelugor sebagai kawasan utama bagi pekerja-pekerja ladang di sekitar negeri ini.

“Pondok ini pada ketika itu dijadikan sebagai warung kopi dan tempat istirahat para pekerja ladang selain menjadi kandang untuk menyimpan kuda milik pegawai Inggeris.

“Selepas itu, apabila terdapat keperluan untuk memberikan Pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang, maka kandang kuda ini dinaik taraf menjadi sebuah sekolah.

“Dan asalnya, sekolah-sekolah ini juga diwujudkan hanya khas untuk anak-anak pekerja ladang di bawah seliaan Francis Light dan David Brown sahaja, cuma selepas itu barulah ia (sekolah ini) mula beroperasi untuk anak-anak rakyat tempatan di kawasan sekitar.

“Dari situlah akhirnya berlaku penambahbaikan kepada bangunan sekolah dan dikembangkan kepada bangunan-bangunan lain iaitu tambahan kepada bangunan asal yang ada ketika itu,” katanya.

Gambar sekolah asal yang dibina semasa penjajahan Inggeris.

Tambah beliau, walaupun mengalami perkembangan dari semasa ke semasa, namun bangunan lama yang kini dijadikan galeri warisan oleh pihak pengurusan sekolah (SK Sungai Gelugor) masih dikekalkan sehingga ke hari ini.

“Reka bentuk bangunan lama yang kini dijadikan galeri warisan juga masih dikekalkan, cuma fungsinya sahaja berubah yang mana dahulunya dijadikan sebagai kelas tetapi sekarang diubah menjadi sebuah galeri warisan,” katanya.

Usaha kekalkan bangunan warisan

Bagi mengekalkan status sekolah Melayu tertua di negara ini, Zamzuri menyatakan bahawa banyak usaha telah dilaksanakan oleh pihak sekolah terutamanya guru-guru dalam memastikan bangunan warisan tersebut terus terpelihara.

“Kita (pihak sekolah) senantiasa pastikan dari segi struktur asas bangunan ini memang tidak pernah berubah kecuali ada penambahbaikan pada bahagian siling dan yang lain kita hanya ganti sahaja.

“Contohnya, papan lantai yang sudah reput, kita gantikan dengan lantai baru dengan menggunakan bahan daripada papan juga, malah pada masa sama memastikan bentuk asal (struktur) binaan tetap kekal dari dulu hingga sekarang,” ujarnyalanjut.

Beliau berkata, setiap pengubahsuaian yang dijalankan membabitkan bangunan berkaitan akan dipantau oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

Cikgu Siti Zubaidah Othman (kiri) dan Cikgu Chan Hong Yan antara tulang belakang bagi kerja-kerja membaik pulih bangunan warisan SK Sungai Gelugor.

“Kita juga menerima sedikit sumbangan daripada JPNPP untuk kerja-kerja pengubahsuaian tetapi hanya berdasarkan status galeri ini sebagai bangunan sekolah dan bukannya di bawah kapasiti sekolah warisan.

“Oleh itu, kita tidak pernah dapat sebarang dana daripada mana-mana kementerian untuk menaik taraf galeri ini kerana bangunan ini tidak digazetkan sebagai sekolah warisan.

“Hanya kira-kira setahun lepas, kita telah pulihkan semula bangunan ini dan pada masa itulah kita dapat tawaran daripada Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang untuk mencalonkan SK Sungai Gelugor sebagai penerima anugerah tersebut,” ulasnya.

Disebabkan itu, kata Zamzuri, inisiatif untuk memelihara dan memulihara bangunan warisan tersebut adalah kebanyakannya datang daripada pihak pentadbir semasa sekolah terutamanya para guru.

“Guru-guru dan pentadbirlah yang membaik pulih dan menghias bangunan ini yang telah terabai sejak sekian lama.

“Dekorasi bilik bangunan warisan adalah hasil kreativiti guru-guru SK Sungai Gelugor yang mana bahan-bahan hiasan ini kita dapatkan daripada pengumpul barangan terpakai dan barangan antik di sekitar Pulau Pinang.

“Bahan-bahan untuk hiasan ini pula kebanyakan diambil hutang atau ada pemilik yang sudi menempatkan sementara barang-barang milik mereka di galeri ini tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Barangan yang dikumpul tidak semestinya berkaitan dengan sekolah sahaja malah ada di antara barang-barang yang kita dapat sudah berusia 300 tahun dan tidak ada kaitan pun dengan asal usul penubuhan sekolah ini,” katanya.

Antara barangan antik yang disimpan di galeri.

Tambah Zamzuri, kini pihaknya dalam proses untuk menambah lebih banyak barangan antik berkaitan dengan warisan memandangkan masih banyak barang-barang terutamanya dari Pulau Pinang yang masih belum diperoleh.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah untuk menghidupkan dan memastikan bangunan warisan ini dapatdikekalkan dan dipuliharasepenuhnya.

“Oleh kerana kebanyakan harga barangan antik sangat mahal, jadi kami amat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang mahu menyumbang dalambentuk kewangan atau ingin menempatkan barangan antic milik mereka di galeri ini.

“Sekiranya ada mana-mana pihak yang mahu berbuat demikian, mereka boleh berhubung terus dengan pihak sekolah,” serunya.

Aktiviti tingkatkan kesedaran

Mengulas lanjut, Zamzuri bahawa pelbagai program telah dianjurkan oleh pihak sekolah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pelajar mengenai nilai sejarah bangunan warisan berkenaan.

“Salah satu inisiatif yangdilaksanakan adalah melalui pengajaran mata pelajaran Sejarah yang mana kitagalakkan guru-guru membawa murid menggunakan bangunan ini di samping kita mengaitkan sejarah itu dengan keadaan semasa.

“Kita juga pernahmenganjurkan program Bahasa Peringkat Negeri Pulau Pinang dan kita jadikan galeri ini sebagai lokasi utama majlis untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bangunan warisan ini.

“Selain itu, kita turut menganjurkan program-program berkaitan pada peringkat sekolah secara berkala yang memerlukan penglibatan para pelajar,” ujarnya sambil menambah bahawa SK Sungai Gelugorkini mempunyai seramai 977 arus perdana dan 50 murid prasekolah dengan jumlah tenaga pengajar seramai 66 orang.

Ruang balai rong berkonsepkan istana Melayu lama khas untuk menerima tetamu.

Harapan

Ditanya mengenai harapan, Zamzuri menyatakan bahawa beliau mahu bangunan tersebut diletakkan di bawah kategori warisan sepenuhnya sekiranya fakta sejarah serta bukti-bukti yang ada pada masa ini adalah benar.

“Selaku pentadbir sekolah, menjadi harapan saya untuk melihat bangunan ini kekal sebagai salah satu warisan yang ada di Pulau Pinang dan juga di negara ini.

“Kami memang mengharapkan bantuan untuk pemuliharaan dan memastikan bangunan ini dapat dijaga dan diuruskan dengan baik.

“Apabila kita terima anugerah daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini, kita berharap agar Pejabat Warisan Negara akan memainkan peranan untuk mengiktiraf sekolah ini sebagai sekolah warisan.

“Pengiktirafan ini menjadi tiket untuk pihak sekolah memohon peruntukan daripada pihak warisan selain kita mahu orang ramai buka mata bahawa di Pulau Pinang juga terdapat sekolah rendah yang ada bangunan warisan yang masih terjaga rapi,” tegasnya.

Tambah beliau, pihak sekolah juga kini dalam proses membuat permohonan untuk menambah bangunan baharu untuk menampung jumlah pelajar prasekolah yang semakin bertambah.

“Kita mahu bangunan baru dibina di kawasan lapang yang masih ada untuk menampung keperluan semasa kerana SK Sungai Gelugor kini mempunyai masalah kekurangan bilik darjah,” jelasnya.