‘Dekati rakyat’, polisi Azhar terajui MBSP

Admin

KEBERADAAN beliau dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang tidak asing lagi kerana sebelum ini beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) selama tiga tahun.

Kini, DATO’ AZHAR ARSHAD diberikan peranan lebih besar dengan menerajui Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) apabila dilantik sebagai Datuk Bandar bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Sebagai rekod, beliau merupakan individu kedua yang dilantik memegang jawatan tersebut sejak Seberang Perai diisytiharkan sebagai bandar raya pada 16 September 2019.

Azhar, 55, mempunyai kelulusan Sarjana Sains (Pengurusan Sumber Tanah) dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya selain memiliki Diploma Pendidikan dan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah serta Diploma Pengurusan Awam.

Beliau juga sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Penerangan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri serta beberapa Pejabat Daerah dan Tanah di Pahang sebelum menyumbang bakti di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak November 2018.

Dato’ Azhar Arshad.

Ketika ditemui Buletin Mutiara sempena wawancara khas baru-baru ini, Azhar menyifatkan tanggungjawab baru yang diamanahkan kepada beliau sebagai sesuatu yang menarik meskipun bebanan kerja kini semakin bertambah dan lebih rencam.

“Sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), skop kerja saya sebelum ini lebih makro kerana perlu melihat negeri (Pulau Pinang) secara keseluruhan sama ada dari segi pembangunan mahupun pelaburan.

“Namun begitu, tanggungjawab sekarang adalah lebih berat kerana memerlukan saya berjumpa dengan ramai orang (rakyat) selain perlu memahami kehendak serta menyelesaikan masalah-masalah mereka,” ujarnya sebagai memulakan bicara.

Cabaran

Sebagai pengemudi utama PBT terbesar dalam negara, Azhar mengakui bahawa cabaran yang terhidang di hadapan beliau adalah sangat besar terutamanya dalam usaha untuk memenuhi jangkaan dan kehendak masyarakat Seberang Perai.

“Hendak menguruskan sebuah PBT bukanlah mudah kerana permintaan dan jangkaan masyarakat semakin tinggi, lebih-lebih lagi dalam era teknologi serta media sosial yang membolehkan maklumat disebarkan dengan begitu pantas.

“Jangkaan masyarakat amat tinggi terutamanya dalam perkhidmatan teras PBT seperti kebersihan, keindahan, infrastruktur, trafik, jalan raya dan sebagainya yang pastinya memberikan cabaran yang amat besar,” katanya.

Menurut Azhar, kejadian kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berlaku hanya selepas hampir dua minggu beliau memegang jawatan Datuk Bandar MBSP merupakan pengalaman paling mencabar baginya setakat ini.

“Seperti yang kita sedia maklum, kebakaran di Pulau Burung telah berjaya dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan, dan kini MBSP dalam tindakan selanjutnya untuk memastikan bencana sama tidak berulang.

“Oleh itu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak-pihak yang telah membantu dalam usaha memadam kebakaran dan menyelesaikan masalah yang timbul daripada kejadian tersebut,” ujarnya.

10 fokus utama MBSP tahun ini

Melihat ke hadapan, Azhar memberitahu bahawa MBSP akan memberikan tumpuan terhadap 10 keutamaan strategik bagi tahun ini sebagaimana yang terkandung dalam Seberang Perai Corporate Priorities 2022 (SPCP 2022).

“Lima keutamaan strategik yang dimaksudkan adalah persekitaran yang selamat, kemudahan dan infrastruktur berkualiti, gaya hidup sihat, pembangunan hijau dan persekitaran bersih serta penggunaan teknologi baharu.

“Selain itu, ia turut merangkumi ekonomi yang berdaya saing, memperkasakan budaya dan warisan, bandar berdaya tahan serta gembira untuk didiami, penglibatan masyarakat serta pembangunan yang inklusif dan saksama.

“Perincian mengenai setiap keutamaan strategik akan diumumkan semasa pelancaran SPCP 2022 secara rasmi kelak.

“Secara umumnya, SPCP 2022 merupakan dokumen strategik yang mengetengahkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapai oleh MBSP pada tahun ini demi kesejahteraan komuniti Seberang Perai,” ulasnya.

Azhar memberitahu bahawa garis panduan MBSP juga berpegang kepada Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang digagaskan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

“Ini kerana, keempat-empat tema yang digariskan dalam Visi Penang2030 sememangnya berkait rapat dengan peranan PBT terutamanya MBSP.

“Sebagai contoh, untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pintar, kita perlu ada PBT pintar terlebih dahulu yang mana sekarang ini MBSP mempunyai 100 perkhidmatan yang disediakan melalui kaunter.

“Malah, MBSP juga menggalakkan inisiatif pintar seperti pembayaran tanpa tunai termasuk bayaran cukai taksiran, tempat letak kenderaan, sewa kompleks dan gerai jualan dan lain-lain.

“Dalam usaha menambah baik aspek kebersihan, keselamatan awam serta meningkatkan fasiliti sukan, rekreasi, kesenian dan warisan pula, kita (MBSP) akan mengadakan banyak program bersama-sama dengan masyarakat.

“Setiap program yang bakal dianjurkan, kami akan cuba untuk selaraskannya dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), jadi kita minta supaya masyarakat di Seberang Perai untuk terus bersama dengan MBSP dalam menjayakan semua program ini,” serunya.

Tambah beliau, tanggungjawab MBSP bukan sahaja memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di bandar malah turut merangkumi seluruh pelosok Seberang Perai termasuk kawasan desa dan luar bandar.

“Polisi saya adalah cuba ‘dekati rakyat’ kerana MBSP bukan sahaja berpusat di bandar tetapi juga di seluruh pelosok yang mana kita perlu adakan pelbagai program untuk dekati mereka.

“Selain itu, saya juga sangat menggalakkan aktiviti sukan seperti kayuhan basikal yang mana MBSP kini dalam usaha mewujudkan laluan basikal di Seberang Perai.

“Setakat ini, kita telah membina laluan basikal sepanjang 195 kilometer (km) merangkumi kawasan Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Oleh hal demikian, MBSP akan menganjurkan banyak program kayuhan, sukan rekreasi termasuk melalui kerjasama dengan syarikat korporat dalam usaha mendekati masyarakat sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk kehidupan mereka,” ulasnya.

Bukan itu sahaja kata Azhar, di Seberang Perai juga terdapat banyak tanah lapang yang boleh ditransformasikan sebagai tempat-tempat menarik seperti taman poket demi manfaat komuniti setempat.

“Banyak tanah lapang yang diserahkan semula oleh pemaju masih terbiar dan kurang dibangunkan, jadi sekarang ini kita cuba kurangkan dengan menukar tanah-tanah ini menjadi tempat menarik untuk komuniti.

“MBSP juga mengalu-alukan syarikat korporat yang berminat untuk menyumbang apa sahaja termasuk peralatan riadah yang dirasakan boleh memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Memandangkan Seberang Perai adalah masa depan bagi negeri Pulau Pinang, MBSP kini dalam usaha wujudkan beberapa kawasan perindustrian khususnya di SPS untuk meningkatkan potensi industri.

“Selain itu, MBSP juga akan menambah baik pengurusan sisa melalui dasar ekonomi kitaran dan mewujudkan sistem sisa kepada tenaga atau waste to energy (WTE).

“Tidak kurang penting juga adalah untuk meningkatkan hasil Majlis sama ada melalui kutipan hasil cukai atau lain-lain selain melakukan perbelanjaan secara lebih berhemah,” ulasnya lanjut.

Kerja berpasukan buahkan kejayaan

Azhar menyatakan bahawa pelbagai kejayaan yang dirangkul MBSP sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa adanya kerjasama erat daripada seluruh warga PBT itu.

“Saya percaya kerjasama berpasukan amat penting dalam mencapai kecemerlangan dan kepimpinan mantan Datuk Bandar (Dato’ Sr. Rozali Mohamud) sebelum ini telah menaikkan lagi semangat warga kerja MBSP.

“Justeru, segala usaha dan pencapaian yang baik akan diteruskan di samping penambahan beberapa program baharu untuk meningkatkan lagi prestasi MBSP.

“Untuk itu, kita akan cuba sedaya upaya untuk mencapai beberapa anugerah yang boleh menaikkan semangat warga kerja MBSP dan menjadikan Seberang Perai serta negeri Pulau Pinang amnya lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Harapan

Azhar berkata bahawa pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar MBSP merupakan suatu penghormatan sepanjang kerjayanya dalam pentadbiran awam.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas jawatan ini.

“Ia bukanlah satu jawatan yang mudah untuk disandang kerana tanggungjawabnya lebih berat serta mencabar kerana jangkaan masyarakat sekarang ini sangat tinggi.

“Namun, saya akan berusaha melakukan yang terbaik untuk jadikan Seberang Perai sebagai tempat yang gembira untuk didiami terutamanya dari segi infrastruktur, perkhidmatan, kebersihan, peluang pekerjaan dan lain-lain.

“Tambahan pula, fokus utama MBSP adalah untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Seberang Perai,” ujarnya.

Pada masa sama, Azhar turut menasihati penduduk agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan Seberang Perai.

“Jangan buang sampah merata- rata dan biarkan pekerja MBSP membersihkannya… kita semua perlu ada rasa tanggungjawab bersama dan bukan hanya bergantung kepada MBSP semata-mata.

“Sebaliknya, kita semua harus menjalankan tanggungjawab untuk menjaga dan meningkatkan lagi kebersihan di Seberang Perai.

“Perubahan minda sangat penting… rakyat seharusnya tahu bagaimana untuk menguruskan sisa seperti membawa barangan kitar semula ke pusat kitar semula dan bukannya membuang dengan sewenang-wenangnya.

“Bersama-samalah kita menjaga kawasan Seberang Perai ini,” serunya lagi mengakhiri bicara.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS