Pekerja pembersihan PPR Desa Wawasan terharu terima kek Hari Ibu

Admin
SEKALIAN pekerja pembersihan dan pemimpin Persatuan Penduduk PPR Desa Wawasan baru-baru ini menerima kek sempena sambutan Hari Ibu Sedunia di sini.

RAFIAH SANI, 60, sudah 21 tahun menghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang bersama-sama tiga anaknya yang berusia antara 22 tahun hingga 35 tahun.

Apabila Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang serta Persatuan Penduduk PPR Desa Wawasan menyusun semula kerja-kerja pembersihan di kawasan perumahan berstrata tersebut dengan melibatkan penghuni lokal, Rafiah yang berstatus ibu tunggal menyertai projek perintis tersebut.

RAFIAH Sani

Selain Rafiah, ada lima wanita lain dan lima lelaki dalam kalangan penduduk lokal turut direkrut bagi menjayakan prokok perintis kerja-kerja pembersihan PPR Desa Wawasan, bermula pada bulan Jun 2019.

Baru-baru ini, semasa sedang sibuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan, beliau bersama-sama kaum ibu yang lain terkejut dan terharu apabila mendapat sebiji kek sempena sambutan Hari Ibu Sedunia.

“Saya tahu Hari Ibu Sedunia disambut pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun, tetapi selama bekerja sebagai kakitangan pembersihan di sini (PPR Desa Wawasan), saya dan kawan-kawan terkejut apabila mendapat kek sempena sambutan Hari Ibu.

“Lebih mengharukan apabila mendapat tahu bahawa kek ini dari Pusat Khidmat Rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR (jurugambar) di sini pada 11 Mei 2022.

DUA pekerja pembersihan PPR Desa Wawasan sedang melaksanakan tugas rutin di sini pada awal pagi tadi.

Bercerita lanjut, Rafiah memberitahu bahawa suaminya meninggal dunia akibat kecelakaan jalan raya kira-kira 26 tahun dahulu; sementara beliau sendiri koma selama tiga tahun.

“Alhamdulillah, sekarang ketiga-tiga anak saya semua dah besar dan dah berkahwin, sementara yang bongsu berusia 18 tahun masih tinggal dengan saya di sini (PPR Desa Wawasan).

“Walaupun berjauhan, dengan ada kemudahan telekomunikasi canggih, yang jauh boleh dirapatkan (secara dalam talian),” jelasnya lagi.

NOORAZIMAH Ahmad

Seorang lagi pekerja pembersihan lokal, NOORAZIMAH AHMAD, 41, turut menzahirkan keterujaannya apabila diraikan dengan sebiji kek sempena Hari Ibu.

“Sudah lima tahun saya menghuni di PPR ini, sejak Jun 2019 mula mengambil tanggungjawab melakukan kerja-kerja pembersihan di PPR ini dan inilah kali pertama kami diraikan sempena Hari Ibu Sedunia.

“Berasa terkejut pun ada, berasa amat dihargai pun ada juga,” seloroh beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penduduk PPR Desa Wawasan kerana membuka peluang pekerjaan dengan gaji bulanan RM1,200.

NORASIMAH Ahmad

NORASIMAH AHMAD, 36, yang menghuni PPR Desa Wawasan bersama-sama empat anaknya turut berasa sambutan Hari Ibu pada tahun ini begitu bermakna.

“Saya pun tak sangka…tidak pernahlah Yang Berhormat (Chong Eng) buat kejutan sebegini.

“Sebagai penghuni PPR ini, yang selalu terlibat dalam kerja-kerja sukarela dan masak-memasak bersama-sama kakitangan pembersihan yang lain, dalam semangat keluarga, tentulah saya juga gembira,” katanya.

MASFUZANA Mohd. Taib

Seorang anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Lalang, MAZFUZANA MOHD. TAIB, 40, berpendapat bahawa rata-rata pekerja pembersihan lokal baik lelaki mahupun wanita berkenaan sangat komited dalam memastikan sekitar kawasan kediaman di sini ceria dan indah.

“Mereka bekerja bagaikan ‘sebuah keluarga’… mereka juga sangat aktif dengan kumpulan ’relawanita’ dalam menjayakan satu-satu program komuniti yang dianjurkan peringkat MPKK dan Pusat Khidmat Rakyat ADUN Padang Lalang,” ujarnya.

MOHAMMAD Najmi Ruzaini Aman

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Penyelia Kerja-Kerja Pembersihan PPR Desa Wawasan, MOHAMMAD NAJMI RUZAINI AMAN, 31, yang begitu dedikasi menguruskan sumber tenaga manusia termasuk kaum wanita dalam melaksanakan kerja-kerja rutin harian.

MOHD. Sanusi Ahmad (kiri) dan Yogan Raj.

Nada hampir sama turut diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Desa Wawasan, MOHD. SANUSI AHMAD, 55.

“Bagi saya, projek perintis (kerja-kerja pembersihan PPR Desa Wawasan dengan melihatkan penghuni setempat sendiri) adalah berjaya.

“Kenapa, saya katakan berjaya…apabila pekerja pembersihan adalam penghuni di sini, elemen kebertanggungjawaban dalam kalangan penghuni dan pekerja-pekerja pembersihan adalah jauh lebih tinggi, berbanding kalau kita tenderkan kerja pembersihan kepada syarikat swasta atau pekerja asing.

“Terima kasih kepada Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam kerana menjadikan PPR Desa Wawasan sebagai ‘kawasan angkat’, di samping mewujudkan projek perintis (kerja-kerja pembersihan PPR Desa Wawasan dengan melihatkan penghuni setempat sendiri) ini,” zahirnya.

CHONG Eng dan Yogan Raj.

Selain Chong Eng, beliau turut merakamkan penghargaan kepada beberapa pihak yang selama ini terlibat dalam menjayakan projek perintis tersebut seperti Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Pengurus Besar PWDC, Ong Bee Leng; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi dan Pengerusi MPKK Padang Lalang, Yogan Raj.

“Kepada seluruh penghuni PPR Desa Wawasan, kira-kira hampir 2,000 orang, Selamat Menyambut Hari Ibu Sedunia,” tambahnya lagi.