Dermaga feri rosak 4 bulan terima amarah rakyat

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerosakan salah satu dermaga feri Pelabuhan Raja Uda, di sini sejak empat bulan lepas sehingga mengakibatkan kesesakan trafik yang begitu serius kian menerima amarah pengguna di seluruh negeri ini.

Pelabuhan Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PPSB) selaku wakil kerajaan pusat dalam menguruskan pelabuhan tersebut diminta segera memperbaiki kemudahan awam itu.

ABDUL Basir Majid.
ABDUL Basir Majid.

Pegawai Bank, Abdul Basir Majid, 46, memberitahu bahawa beliau terpaksa menunggu lebih sejam di jeti walaupun membonceng motosikal.

“Dari Jeti Butterworth (Pelabuhan Sultan Abdul Halim), bayangkan pada jam 7 pagi pun saya terpaksa menunggu lebih sejam.

“8.35 (pagi) baru boleh menyeberang ke pulau (George Town) sebab trafik feri lembab,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini. Dalam pada itu, beliau turut memprotes kualiti pengangkutan awam feri yang baginya tidak setimpal dengan tol yang dikenalkan ke atas pengguna.

“Bagi motosikal, dari tol RM1.20 sampai (naik) RM1.70 dan kemudiannya (sekarang) RM2.00, mutu perkhidmatan tetap sama macam dulu (iaitu) teruk.

“Kalau beginilah mutu pengangkutan awam, tukar sahaja pengurusan (PPSB), tukar pemerintah pusat. Mutu perkhidmatan awam masih teruk walaupun lebih 50 tahun negara merdeka,” tegas beliau.

Agen Insurans, Lily Chang, 34, berkata beliau tidak mempunyai banyak pilihan kerana feri adalah laluan alternatif paling dekat antara rumahnya di Bagan ke George Town.

“Sepatutnya ia lebih mudah kerana dekat dengan rumah saya. Tuan sendiri boleh lihat, sudah berapa lama kita menghabiskan masa menunggu di sini (Pelabuhan Raja Uda).

“Kalau menunggu kesesakan trafik di laluan kereta seperti saya ini lebih teruk. Perbaikilah. Sudah empat bulan rosak (dermaga feri), takkan nak tunggu empat tahun? takkan nak tunggu tukar kerajaan pusat?,” respons beliau.

KEADAAN kesesakan di laluan motosikal.
KEADAAN kesesakan di laluan motosikal.

Tinjauan Buletin Mutiara di Pelabuhan Raja Uda selepas waktu bekerja baru-baru ini mendapati kesesakan trafik sangat serius termasuk di laluan motosikal. Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom), Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi), Lim Hock Seng ketika dihubungi mengaku bahawa pihaknya turut menerima rungutan dan amarah pengguna di kedua-dua pelabuhan feri tersebut.

Beliau berkata pihaknya telahpun memaklumkan kepada pihak PPSB mengenai kesulitan itu.

“Dari maklum balas PPSB, kerosakan salah satu dermaga itu berpunca daripada perlanggaran feri dengan dermaga itu.

LIM Hock Seng
LIM Hock Seng

Proses memperbaiki salah satu dermaga di Pelabuhan Raja Uda itu memakan masa dua hingga tiga bulan lagi (yang) menelan belanja kira-kira RM 4.5 juta yang ditanggung oleh PPSB sendiri,’’ jelas beliau.

Mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Hock Seng turut merakamkan kekesalan kerana tidak berupaya campur tangan mengenai kesulitan itu kerana pengurusan pelabuhan hakikatnya di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.