Senamrobik Balik Pulau setiap Ahad

AKSI Abdul Halim Hussain (depan, kanan) dan Patahiyah Ismail (depan, kiri) ketika menyertai program senamrobik di Balik Pulau.
AKSI Abdul Halim Hussain (depan, kanan) dan Patahiyah Ismail (depan, kiri) ketika menyertai program senamrobik di Balik Pulau.

BALIK PULAU – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Balik Pulau telah mengadakan program senamrobik bertempat di Dataran Muafakat, Kompleks Pasar Awam, Jalan Tun Sardon, di sini baru-baru ini.

Acara yang bermula tepat jam 7.30 pagi itu dihadiri kira-kira 300 peserta terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa, agama serta peringkat umur.

Bagi memeriahkan suasana, sebanyak 300 t-shirt percuma telah diedarkan kepada peserta yang hadir di samping pameran daripada Polis Di-Raja Malaysia (PDRM). Malah, orang ramai yang hadir juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan oleh Hospital Balik Pulau.

Bukan itu sahaja, bagi mereka yang berminat untuk menyertai program senamrobik ini bolehlah berkunjung ke lokasi pada setiap hari Ahad, 7.30 pagi. Turut hadir memeriahkan program ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abdul Halim Hussain, Yang Di-Pertua (YDP) MPSP, Ar. Patahiyah Ismail serta beberapa orang Ahli Majlis MPPP.