Dewan bankuet terbesar Seberang Perai di Ampang Jajar

SUNGAI PUYU – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bakal melaksanakan projek pembinaan Dewan Bankuet Ampang Jajar yang menelan belanja RM42.6 juta.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian pecah tanah tersebut di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, dewan yang akan dibina tersebut adalah paling besar di bahagian Seberang Perai.

“Ini (Dewan Bankuet Ampang Jajar) dewan bertaraf lima bintang.

“Saya rasa ini akan lebih cantik daripada Seberang Perai Arena (SP Arena),” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan pada
majlis berkaitan.

Katanya, projek tersebut mula dijalankan pada 17 April lepas dan dijangka siap, 19 Januari 2019.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri sanggup berbelanja lebih untuk memberikan projek pembangunan infrastruktur awam seimbang antara bahagian pulau dan Seberang Perai, sungguhpun projek pembinaan Dewan Bankuet Ampang Jajar tersebut tidak akan membawa pulangan pelaburan yang besar berbanding kos pembinaan oleh PDC.

Dengan pembinaan projek berkenaan, tambah beliau, sekaligus menunjukkan satu lagi rekod bahawa belanja pembangunan di bahagian Seberang Perai yang mempunyai lebih banyak kawasan luar bandar, adalah lebih diutamakan berbanding bahagian pulau.

“Sebanyak 77 peratus perbelanjaan pembangunan di Pulau Pinang tertumpu di bahagian Seberang Perai dengan perbelanjaan
sebanyak RM2,379 juta.

“Manakala, bagi bahagian pulau pula, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak 23 peratus atau RM698 juta, dengan
jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM3,077 juta (sejak tahun 2008) sehingga 2016,” ujarnya.

Difahamkan, luas lantai Dewan Bankuet Ampang Jajar mampu memuatkan kira-kira 360 meja makan pada satu-satu masa, selain
dilengkapi 600 petak parkir kereta termasuk empat petak letak kenderaan khas untuk orang kurang upaya (OKU), 400 parkir
motosikal serta pelbagai kemudahan lain dengan reka bentuk fizikal termoden kelak.

Projek ini, kata Guan Eng, membabitkan luas lantai 16.6 ekar, yang terdiri oleh dua fasa pembangunan.

“Keluasan untuk bangunan bagi dewan ini adalah 192,000 kaki persegi, manakala, fasa dua dengan kawasan seluas 7.15 ekar
ditetapkan untuk pembinaan kolam renang bertaraf antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar sertai Majlis Pecah Tanah Projek Dewan Bankuet Ampang Jajar di sini.