Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan arkeologi, penjelajahan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Pulau Pinang bukan sahaja kaya dengan warisan dan kebudayaannya, malah kini ia mula mendapat tumpuan pengkaji sejarah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau optimis bahawa negeri ini mampu menjadi salah satu pusat kecemerlangan
arkeologi dan penjelajahan unggul di Malaysia.

“Baru-baru ini di Guar Kepah, Seberang Perai Utara, para pengkaji sejarah telah menemui artifak berusia lebih 5,000 tahun zaman pra sejarah yang dikenali sebagai Penang Woman.

“Malah, mereka (pengkaji sejarah) percaya terdapat lebih banyak misteri yang tertanam di kawasan sekitar penemuan mereka.

“Jadi tidak mustahil, selain menjadi pusat warisan dan budaya, Pulau Pinang mampu menjadi pusat kecemerlangan arkeologi dan
penjelajahan unggul di Malaysia…mungkin juga di Asia Tenggara,” ujarnya ketika berucap merasmikan Program Arkeologi Muda di Fort Cornwallis di sini 26 Ogos lalu.

Projek yang dibiayai George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) merupakan inisiatif bersama Rangkaian Muzium dan Galeri Pulau Pinang (MAGNET) serta disokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Guan Eng berharap orang ramai mengambil peluang yang ada untuk mengenali sejarah awal Pulau Pinang.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga mahu menyuburkan minat khususnya golongan muda terhadap sejarah awal negeri kita.

“(Adalah) penting untuk kita mengenali dan menyayangi negeri kita melalui warisan zaman silam, melaluinya kita akan saling  memahami hidup bermasyarakat,” tambahnya.

Dalam majlis sama, Guan Eng turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada GTCDC bagi menyemarakkan lagi projek berkaitan. Program Arkeologi Muda merupakan inisiatif dalam menggalakkan penyertaan umum dalam sektor warisan dan sejarah di Pulau Pinang.