Dewan Banquet Ampang Jajar bakal beri impak ekonomi buat kawasan Seberang Perai – Guan Eng

Admin

BAGAN JERMAL – Pembangunan Dewan Banquet Ampang Jajar diyakini mampu memberi impak kepada ekonomi setempat khususnya dalam penganjuran majlis-majlis perhimpunan, mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) di kawasan Seberang Perai kelak.

 

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, pembinaan dewan banquet berskala besar berkenaan adalah tepat pada masanya memandangkan hab pengangkutan awam bagi wilayah utara, Penang Sentral (PS) kini telah beroperasi.

 

Jelasnya,  ia (PS) dapat membawa limpahan pelancong dan orang ramai ke kawasan berkenaan.

 

“Dengan jaringan pengangkutan sedia ada dan jalinan jalan raya utama, projek pembangunan ini bukan sahaja penting untuk kawasan Bagan dekat Butterworth, tetapi seluruh kawasan Seberang Perai dan wilayah utara,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

 

Hadir sama Exco Belia dan Sukan merangkap ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), M. Satees (ADUN Bagan Dalam) dan Ir. Hartini Ali (Timbalan Pengurus Besar I Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC).

Projek bernilai RM50 juta di bawah peruntukan PDC berkenaan kini telah mencapai kemajuan kira-kira 45 peratus dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini.

 

Difahamkan, ia bakal memuatkan sehingga 350 meja (bahagian dalam) pada satu-satu masa dan bahagian luar (50 meja).

 

Menurut Guan Eng yang juga Menteri Kewangan Malaysia, pembiayaan daripada PDC itu merupakan seed investment supaya boleh menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan berkenaan.

 

“Dengan burning investment atau seed investment ini ia mampu menarik lebih banyak pelaburan, peluang perdagangan dan juga peluang pelancongan ke kawasan ini,” ujarnya.