Jalan raya seluruh negara perlu ditransformasi bagi menyediakan lorong khas pengguna motosikal – Kon Yeow

Admin

BAGAN JERMAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa seluruh jalan raya di negara ini perlu ditransformasikan bagi menyediakan satu lorong khusus bagi pengguna motosikal.

Menurutnya, langkah tersebut adalah perlu dalam usaha mengurangkan kadar kematian yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.

“Kerajaan Negeri sentiasa melihat kepada tiga E iaitu ‘Engineering, Education dan Enforcement untuk menambah baik keselamatan jalan raya kerana pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menghargai nyawa pengguna dan sentiasa melihat cara untuk mentransformasikan jalan raya ke arah yang lebih selamat.

Ketua Menteri semasa melancarkan Kempen Khas Keselamatan Jalan raya Sempena Tahun baru Cina dekat Stesen Petronas Raja Uda.

“Oleh itu, disarankan agar pihak berkuasa mungkin perlu mewajibkan pemandu motosikal untuk memakai jaket keselamatan terutamanya semasa berhenti di tepi jalan bagi meningkatkan keselamatan,” katanya semasa merasmikan Kempen Khas Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Jermal di sini, semalam.

Berucap sebelum itu, Pengarah JKJR Pulau Pinang, M. Thurkahthevi.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ketua Seksyen Pengangkutan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Lim Hock Seng; Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Marini Baharuddin; Pegawai Penerangan SPU, Nurazreen Ab. Rahman; Jurutera Daerah dan Jabatan Kerja Raya SPU, Ir. Shafizan Md. Noor;

Pengurus Besar Boon Siew Honda Sdn. Bhd., Keiichi Yasuda; Timbalan Presiden Boon Siew Honda Sdn. Bhd., May Law Siew Hwa; Pengurus Jualan (Wilayah Utara), Petronas Dagangan Berhad, Tariq Ashra Sulaiman turut hadir.

Aksi Ketua Menteri menunggang motosikal di salah sebuah ruangan pameran.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 80 peratus kes kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada sikap pemandu selain faktor lain seperti cuaca serta keadaan jalan raya.

“Mengikut statistik PDRM, jumlah kemalangan jalan raya di Pulau Pinang meningkat dari 42,244 kes pada tahun 2016 kepada 43,007 kes pada tahun 2017, manakala bilangan kematian pula mencatatkan penurunan daripada 411 kes kepada 401.

“Berdasarkan statistik, saya percaya bahawa tumpuan utama dalam usaha untuk mengurangkan bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya adalah lebih bergantung kepada sikap pengguna jalan raya sendiri.

“Justeru, kita tidak boleh memandang ringan terhadap kempen kesedaran jalan raya kerana inisiatif seperti ini sememangnya membantu kerajaan dalam misi mengurangkan kadar kemalangan terutamanya yang berpunca daripada sikap pemandu,” ujarnya.

Ketua Menteri menampal salah satu bahan kempen pada kenderaan pengunjung yang hadir.

Difahamkan, hampir 1,000 jaket keselamatan sumbangan Boon Siew Honda diagihkan kepada pengguna motosikal pada program berkaitan.

Selain itu, program tersebut turut dimeriahkan dengan pemeriksaan motosikal secara percuma, semakan saman oleh kenderaan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pelbagai lagi.

Sementara itu, menjawab soalan pemberita berhubung cadangan pembinaan penghadang yang lebih tinggi bagi mengelakkan kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang, Kon Yeow menjelaskan bahawa perkara tersebut memerlukan kajian terperinci daripada pihak-pihak berwajib.

“Saya minta pihak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan pihak Jambatan Pulau Pinang termasuk Jambatan Kedua (Pulau Pinang) untuk mengkaji sama ada penghadang yang ada sekarang sudah cukup tinggi atau tidak mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya merujuk kepada insiden kemalangan pada 20 Januari lalu yang menyebabkan sebuah kereta terjunam ke dalam laut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AFIQA ZAINUDI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS