Dialog, partisipasi umum sumbang penyediaan Bajet MBPP 2019

PANTAI JEREJAK – Penganjuran sesi Dialog Bajet Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 2019 yang masuk tahun kedua disifatkan sebagai platform terbaik bagi mendapatkan maklum balas umum berhubung penyediaan belanjawan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan pada tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Perbendaharaan MBPP, Suhaida Kamalul Ariffin berkata, tujuan dialog berkenaan diadakan adalah bagi mendapatkan partisipasi awam ke arah penyediaan belanjawan yang lebih komprehensif serta menyeluruh.

“Untuk tujuan ini, kita (MBPP) merancang untuk mengadakannya sebanyak empat kali, iaitu bermula pada Januari sehingga April depan.

“Masing-masingnya, dua sesi untuk kawasan Daerah Barat Daya (DBD) dan Daerah Timur Laut (DTL).

“Dengan mengadakan sesi dialog sebegini, diharap MBPP dapat menerima input, idea dan cadangan bernas daripada umum bagi menyediakan satu belanjawan ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar raya pintar dengan tidak mengetepikan hal-hal kehijauan serta keselamatan,” ucapnya pada Sesi Dialog Bajet MBPP Tahun 2019 dekat Balai Rakyat MBPP Bayan Baru di sini 13 Januari lalu.

Turut serta, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng.

Hampir 100 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang berbeza, peringkat umur, pendidikan dan keupayaan terlibat sama dalam proses menentukan bajet berkaitan.

Dialog Bajet MBPP Tahun 2019 merupakan usaha sama pintar antara MBPP dan PWDC menerusi inisiatif Gender Responsive and Participatory Budget (GRPB). Dalam pada itu, Bee Leng dalam ucapannya menyatakan, sebagai Kerajaan Negeri berorientasikan rakyat, MBPP secara proaktifnya telah mula menjalankan kajiselidik bajet untuk tahun hadapan.

“Bagi menentukan keutamaan untuk merangka bajet tahun hadapan, kita (Kerajaan Negeri) membuka ruang serta peluang buat rakyat untuk terlibat sama, baik daripada golongan wanita, lelaki dan sesiapa sahaja,” jelasnya.