‘Digital Go Penang’, solusi usahawan PKS tawar produk dan perkhidmatan secara dalam talian

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bakal melaksanakan ‘Digital Go Penang’ sebagai salah satu platform digital yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk para usahawan perusahaan kecil sederhana (PKS) memilih pakej yang sesuai bagi memulakan perniagaan secara dalam talian.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Tony Yeoh Choon Hock yang mewakili Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain, ‘Digital Go Penang’ akan dilancarkan pada 29 Mac ini.

“Kerajaan Negeri komited menyokong semua PKS untuk menggunakan platform digital dalam penjualan mereka. Pandemik COVID-19 telah menjadikan semua urusan penawaran produk dan perkhidmatan amat mencabar, namun tidak mustahil.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta untuk menyokong PKS melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 yang diumumkan sebelum ini. Usahawan-usahawan ini layak mendapat geran RM1,000 secara ‘one-off’ untuk mengimbangi kos penjualan di pasaran ‘business to business’ (B2B).

“Permohonan boleh dibuat melalui Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) Pulau Pinang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen Penang SME Go Digital dan Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada SME di Wisma Yeap Chor Ee pagi ini.

Hadir sama, Ekskutif Bahagian Keusahawanan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Ajri Zarith Nur Ahmad dan Presiden Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA) Malaysia, Well Kam Lian Hooi.

Pada sidang media sama, Choon Hock memaklumkan kira-kira 15,000 usahawan PKS negeri ini terlibat dengan perniagaan digital sejak Jun 2020 hingga Februari 2021.

Semua peniaga yang menggunakan platform Penang E-Mall @ Shopee berjaya mencatatkan hasil jualan terkumpul sebanyak RM583 juta dalam tempoh tersebut, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang.

“Daripada 15,000 peniaga, lebih dari 10,000 merupakan usahawan digital baharu dan lebih daripada 700 penjual menjual produk halal,” tambahnya.

Penang E-Mall @ Shopee merupakan platform perniagaan secara dalam talian hasil kerjasama Kerajaan Negeri melalui Penang Halal International (PHI) dan Shopee dalam menggalakkan keusahawanan digital di Pulau Pinang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD