Kerajaan Negeri rangka alternatif bantu sediakan kediaman lebih baik kepada pekerja asing

Admin

GEORGE TOWN – Kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri diarah untuk meningkatkan lagi pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi jangkitan kes COVID-19.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa langkah tersebut adalah perlu ekoran berlaku peningkatan kes jangkitan baru COVID-19 di negeri ini terutamanya melibatkan sektor perkilangan.

“Sebagai Exco Kerajaan Tempatan, saya hendak beri arahan kepada Majlis Bandaraya Pulau (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) supaya melakukan pemantauan lebih rapi di tempat-tempat yang dilihat sebagai berisiko tinggi.

Phee Boon Poh (kanan sekali) dan Ir. Addnan Mohd. Razali turut serta dam sidang media tersebut.

“Jika dilihat kepada situasi ketika ini, kes jangkitan baru COVID-19 semakin meningkat khususnya di sektor perkilangan dan ini memerlukan tindakan segera diambil.

“Oleh itu, sekiranya didapati mana-mana kilang yang mencatatkan peningkatan kes baru COVID-19 terlalu tinggi, maka kilang tersebut boleh diarahkan tutup.

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam isu ini demi kebaikan rakyat Pulau Pinang,” tegasnya pada sidang media dekat Pejabat MBPP, di Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh serta Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga sedang melihat beberapa alternatif bagi membantu penyediaan tempat tinggal lebih baik kepada pekerja warga asing yang menjadi penyumbang utama peningkatan kes baru COVID-19 di negeri ini.

“Seperti semua sedia maklum, Pulau Pinang merupakan negeri pertama mencadangkan kepada Kerajaan Pusat bahawa kilang-kilang yang boleh memuatkan pekerja dibenarkan untuk membina tempat pekerja atau tempat komersial yang jauh dari skim perumahan rakyat.

“Perkara yang penting adalah kita hendak galakkan semua (pihak kilang) datang ke hadapan dan Kerajaan Negeri serta PBT sedia untuk membantu mereka melaksanakan proses ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Boon Poh memberitahu bahawa berdasarkan analisis dijalankan oleh pihak berkaitan mendapati bahawa peningkatan kes baru COVID-19 adalah berpunca daripada tempat penginapan pekerja asing yang terlalu padat.

“Justeru, saya telah merayu kepada kedua-dua PBT supaya meminta syarikat atau kilang untuk memastikan kediaman bagi pekerja warga asing tidak terlalu padat kerana keadaan itu akan menjejaskan kesihatan mereka.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua PBT kerana bersetuju membuat semakan dan pertimbangan untuk membolehkan bangunan komersial di negeri ini diubah suai menjadi asrama pekerja.

“(Dan) saya juga merayu kepada pihak syaikat atau kilang agar memberikan kerjasama sepenuhnya demi kesihatan pekerja-pekerja mereka,” katanya.

Sementara itu, Addnan memberitahu bahawa MBPP sedia mempermudahkan urusan sekiranya ada mana-mana pihak yang mengemukakan permohonan untuk membina penempatan bagi pekerja mereka.

“Kita akan percepatkan proses tersebut selain memantau kawasan-kawasan yang mencatatkan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi untuk memastikan mereka sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN