Digital @Seberang Perai; himpunkan perkhidmatan agensi kerajaan dalam satu pameran maya

Admin
JAGDEEP Singh Deo (depan, kanan) diiringi Sr. Rozali Mohamud (depan, kiri) pada acara gimik pelancaran program Digital @SeberangPerai; dengan menguji SPARK atau Sistem Amaran Paras Air. Kawalan Banjir iaitu projek inovasi MBSP di sini pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Mungkin pertama di Malaysia, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada pagi ini menganjurkan Program Digital @Seberang Perai dengan menghimpunkan semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan secara digital dalam satu platform pameran maya.

 

SR. Rozali Mohamud

Datuk Bandar MBSP, Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa tujuan penganjuran program tersebut antara lain demi memangkin status Seberang Perai sebagai bandar raya pintar pada masa hadapan.

“Sehingga kini kita (MBSP) menyediakan 100 perkhidmatan dalam talian serta 25 inisiatif bandar raya pintar yang sedang dilaksanakan dengan visi (MBSP iaitu) menjadikan Seberang Perai Resilien, Inklusif, Hijau, Kompetitif dan Bandar Pintar dipacu oleh Teknologi.

“Pembangunan modal insan bukan sahaja terbatas di pusat latihan, universiti dan kolej; tetapi pembangunan modal insan adalah suatu usaha yang berterusan oleh semua pihak agar warga Seberang Perai dan Pulau Pinang boleh mengambil bahagian dalam era digital sehingga boleh mewujudkan warga negeri pintar.

“Pada ketika itu, apabila penduduk telah sedar tanggungjawab mereka untuk mengambil bahagian dalam era digital, barulah kita boleh isytihar Pulau Pinang (terutamanya) Seberang Perai sebagai bandar raya pintar yang dibina oleh penduduk pintar, bukan dibina oleh mereka yang tak pintar atau dibina oleh teknologi sendiri.

“MBSP bercita-cita suatu masa nanti semua projek dan program pembangunan dipamerkan kepada rakyat, supaya rakyat dapat memberi pandangan secara digital.

“(Dan) dengan itu, barulah rakyat mendapat manfaat daripada (kemudahan) bandar raya pintar yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dan juga MBSP,” jelasnya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Pelancaran Digital @ Seberang Perai yang dilangsungkan secara maya dari Menara Bandaraya MBSP di sini pada 9 Oktober 2021.

 

JAGDEEP Singh Deo (kanan) semasa menyampaikan ucapan perasmian sekali gus melancarkan program Digital @SeberangPerai di Menara Bandaraya MBSP tadi.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat hadir menyempurnakan acara perasmian majlis tersebut.

Turut serta Ketua-Ketua Whip MBSP, P. David Marshel; Ahmad Rizal Abd. Hamid; Muhamad Suzuki Ahmad; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), ‘Ainul Fadhilah Samsudi; Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Nasrul Ali Yassar dan beberapa wakil agensi kerajaan lain.

 

ANTARA pemimpin Kerajaan yang hadir bagi menjayakan majlis pelancaran program Digital @SeberangPerai tadi.

Menurut Rozali, kali pertama MBSP menganjurkan program Digital @ Seberang Perai pada tanggal 5 Oktober 2019 di pasar raya mega Mydin dekat Kepala Batas, yang turut dirasmikan oleh Jagdeep.

“Pada ketika itu, belum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)…jabatan yang terlibat pada ketika itu adalah Kerajaan Negeri Pulau Pinang, JPJ, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perpustakaan Negara Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua firma swasta tertentu di Pulau Pinang.

“Dan (program pada pagi) ini merupakan program pertama di Malaysia walaupun ini kali kedua dilancarkan di Seberang Perai dengan menyatukan semua jabatan kerajaan yang mengambil bahagian dalam satu platform maya,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya berhadap Program Digital @ Seberang Perai akan memberi pendedahan kepada individu, komuniti Seberang Perai khususnya, juga penduduk Pulau Pinang amnya mengenai perkhidmatan-perkhidmatan digital dan secara dalam talian yang terdapat di MBSP dan agensi-agensi kerajaan di Pulau Pinang.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP