Digital @Seberang Perai, perkasakan penyampaian perkhidmatan secara mudah dan pantas kepada penduduk

Admin

BERTAM – Inisiatif Digital @Seberang Perai yang dilancarkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) adalah sebagai usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk secara lebih mudah dan pantas.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang hadir menyempurnakan pelancaran tersebut dekat Pasar Raya Mydin Bertam pada 5 Oktober lalu berkata bahawa MBSP menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara yang mempunyai kaunter siber.

Jagdeep Singh Deo dan Rozali Mohamud menyaksikan demo Microbit Robot yang ditampilkan oleh agensi swasta, Cytron Technologies Sdn. Bhd. pada program Digital @ Seberang Perai dekat Pasaraya Mydin Bertam baru-baru ini.

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada MBSP kerana menganjurkan program sebegini selaras dengan hasrat Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, melalui inisiatif Digital @Seberang Perai sebanyak 11 daripada 119 perkhidmatan keseluruhan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan itu di kaunter berpusat secara manual kini boleh diakses melalui dalam talian (online).

“Tujuan kita adakan Digital @Seberang Perai adalah untuk memperkenalkan kemudahan kaunter siber yang menyediakan 11 perkhidmatan secara maya (siber) iaitu aduan, cukai taksiran, cagaran, tender atau sebut harga, MBSPPay, tempahan kemudahan, pemaju, jawatan kosong, OSC Online, Klinik Panel, dan permohonan lesen perniagaan.

“Selain itu, ia juga bertujuan mendidik masyarakat untuk menggunakan kaunter siber yang lebih efektif dan efisien selain menggabungkan semua perkhidmatan disediakan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan melalui satu platform.

“(Dan) pada masa akan datang kita akan menggabungkan semua perkhidmatan sama ada yang disediakan oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan dalam satu kaunter untuk memudahkan urusan rakyat,” jelasnya pada sidang media sejurus hadir pada perasmian program berkaitan di sini.

Salah satu permainan lantai interaktif yang menarik minat kanak-kanak.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mohamud; Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara, Datuk Dr. Saduruddin Gulam Husen serta Pengurus Besar Mydin Wilayah Utara; Azmin Saduruddin.

 

Difahamkan, selain MBSP, Digital @Seberang Perai turut melibatkan lima agensi kerajaan dan dua agensi swasta yang mempamerkan dan menawarkan perkhidmatan berasaskan teknologi digital.

Antaranya, Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang; Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Cytron Technologies Sdn. Bhd. dan Wessteck Multimedia.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD