Didik kanak-kanak sentuhan selamat dan tidak selamat, elak jadi mangsa pedofilia

GEORGE TOWN – Kanak-kanak perlu diberi pendedahan dan didikan mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat sebagai perlindungan awal bagi mengelakkan menjadi mangsa pedofilia.

 

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata, selain ibu bapa, penjaga dan guru-guru juga disarankan mendidik kanak-kanak mengenai sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat supaya dapat membezakan antara sentuhan berniat baik dan sentuhan berniat jahat yang hanya ingin mengambil kesempatan.

 

“Sekiranya, kanak-kanak ini tidak dididik atau diberitahu, bagaimanakah mereka tahu sama ada sentuhan tersebut adalah betul atau salah.

 

“Mereka (kanak-kanak) juga perlu dididik supaya mereka tahu dengan siapa mereka boleh mendapatkan bantuan dengan serta-merta sekiranya mereka tidak selesa atau berperasaan negatif,” ujarnya pada majlis penutupan sempena Seminar Keselamatan Tubuh Badan Kanak-kanak Dan Penyerahan Buku Keselamatan Tubuh Badan Kanak-Kanak kepada 140 wakil guru-guru tadika dan badan bukan kerajaan (NGO) di Komtar, 5 Oktober lalu.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Penolong Pengarah Kanan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pulau Pinang, Wan Nur Azlina Wan Abdul Rahman yang juga penceramah pada hari tersebut.

 

Mengulas lanjut, Chong Eng percaya melalui komunikasi dua hala ini kanak-kanak dapat didedahkan mengenai anatomi badan dengan menggunakan istilah yang bersesuaian.

 

WAN Nur Azlina Wan Abdul Rahman menunjukkan salah satu teknik pengenalan anatomi badan yang terkandung dalam Buku Keselamatan Tubuh Badan Kanak-Kanak terbitan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Tidak dapat dinafikan, ada segelintir kanak-kanak yang lebih gemar mendiamkan diri dan inilah peluang terbaik untuk ibu bapa dan guru-guru mengajar mereka untuk meluahkan perasaan.

 

“(Dan) sebagai orang dewasa, janganlah kita memandang remeh aduan atau perubahan tingkah laku anak-anak kita kerana statistik menunjukkan hanya 30 peratus sahaja orang dewasa mempercayai luahan anak-anak mereka.

 

“Ibu bapa dan guru yang sentiasa berada di barisan hadapan, anda berupaya melindungi dan menyelamatkan anak-anak anda daripada menjadi mangsa sama ada pedofilia mahupun penderaan seksual dengan sentiasa menyatakan rasa kasih sayang dan bukannya menyalahkan ataupun tidak mengendahkan aduan mereka.

 

“Oleh itu, marilah kita sama-sama berganding bahu mewujudkan masyarakat yang selamat supaya anak-anak kita dapat membesar dengan sihat dari segi fizikal dan emosi.

 

“Anak-anak hari ini adalah masa hadapan negara dan melindungi mereka menjadi tanggungjawab kita semua,” katanya yang turut menyeru penglibatan semua pihak sama ada badan bukan kerajaan mahupun orang-perseorangan.

 

Dalam seminar tersebut, wakil-wakil daripada pusat asuhan harian, tadika dan badan bukan kerajaan didedahkan dengan teknik-teknik yang boleh diguna pakai dalam mendidik kanak-kanak.

 

Antaranya, melatih kanak-kanak untuk katakan ‘Jangan’, ‘Tidak’ dan ‘Hentikan’ serta segera memberitahu orang dewasa yang dipercayai sekiranya mereka pernah diminta menunjukkan atau disentuh di bahagian sulit mereka.

 

Mengajar anak-anak tentang perbezaan antara sentuhan baik dan sentuhan tidak baik supaya mereka dapat membezakan niat sentuhan seseorang terutama yang membabitkan anggota sulit.

 

Difahamkan, sebanyak 70,000 naskah Buku Keselamatan Tubuh Badan Kanak-Kanak dicetak dan diedarkan dalam dua versi bahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Cina kepada wakil-wakil yang hadir.

 

Manakala, bagi versi bahasa Inggeris boleh didapati secara dalam talian di laman sesawang  http://www.bodysafety.com.my/.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG