Dinamika mendampingi masyarakat setempat – JKKK perlu lebih efektif

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) disaran mewujudkan sebuah jalinan sistem mentor dalam kalangan sendiri bagi meningkatkan perkongsian urus tadbir, kaedah-kaedah pelaksanaan tugasan dan aktiviti serta mampu berkongsi pengalaman dalam menyelesaikan permasalahan yang
dihadapi oleh masyarakat.

Saranan tersebut disuarakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di dalam ucapannya sempena  Majlis Anugerah JKKK Terbaik Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, JKKK merupakan sebuah institusi yang menjadi sebahagian dari jentera pentadbiran Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi bagi membantu Pulau Pinang menjadi sebuah negeri dinamik dan bersih bukan sahaja di peringkat tempatan, malah, di persada antarabangsa.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya supaya JKKK di sini (Pulau Pinang) bukan sahaja mampu menjadi JKKK Terbaik di Pulau Pinang, malah turut mampu menjadi contoh kepada semua JKKK di Malaysia,’’ katanya di sini.

Pada tahun ini, sejumlah 34 JKKK daripada 289 JKKK telah mengambil bahagian berbanding tahun lalu, hanya 22 JKKK daripada 149 JKKK.

Bagi tahun ini, terdapat dua JKKK telah dimansuhkan kerana berlaku pertindihan kawasan.

Antara JKKK yang memenangi Anugerah JKKK Terbaik adalah JKKK Kampung Melayu (Daerah Timur Laut), JKKK Mahsuri (Daerah Barat Daya), JKKK Lahar Yooi (Daerah Seberang Perai Utara), JKKK Taman Alma Jaya (Daerah Seberang Perai Tengah) dan JKKK Kepala Gajah (Daerah Seberang Perai Selatan).

Setiap JKKK terbaik dianugerahkan dengan sijil penyertaan dan penghargaan, piala dan wang tunai berjumlah  RM3,000.

Dalam majlis yang sama, institusi koperasi turut diberi penghargaan. Sejumlah sembilan koperasi dianugerahkan Koperasi Terbaik manakala sembilan yang lain dianugerahkan Koperasi Berpotensi.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim ; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani , Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Maktar Shapee dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Maimunah Mohd. Shariff.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, turut menegaskan bahawa JKKK perlu berusaha memberi tumpuan kepada isu-isu fokal seperti kesihatan, keselamatan dan kepimpinan.

Malah, JKKK juga perlu menjadi lebih efektif dan efisien dalam memastikan kedinamikan formula mendampingi masyarakat.

JKKK Mahsuri yang dinobatkan sebagai JKKK Terbaik Daerah Barat Daya menerima sijil penyertaan daripada Mansor Othman (kiri sekali) sambil disaksikan oleh Abdul Halim Hussain (tengah)
JKKK Mahsuri yang dinobatkan sebagai JKKK Terbaik Daerah Barat Daya menerima sijil penyertaan daripada Mansor Othman (kiri sekali) sambil disaksikan oleh Abdul Halim Hussain (tengah)