Diskaun 10 peratus jika beli RMM semasa pandemik – Exco Perumahan

Admin
SUASANA sebelum persidangan dalam DUN Pulau Pinang pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Sehingga 30 Jun 2022, mereka yang layak membeli rumah mampu milik (RMM) di bahagian Pulau dan Seberang Perai akan menikmati pengurangan harga jualan sebanyak 10 peratus.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa Kerajaan Negeri melaksanakan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sebegitu dengan tujuan merangsang sektor hartanah negeri yang terjejas dek pandemik COVID-19 sekali gus memberi peluang kepada rakyat yang layak untuk memiliki kediaman lebih selesa.

“RMM, bagi unit berkeluasan 850 kaki persegi (ditawarkan pada harga baharu) maksimum RM270,000.00 di Pulau dan RM225,000 seunit di Seberang Perai.

“Sekiranya pemaju ingin mengekalkan harga lama iaitu RM300,000.00 di Pulau dan RM250,000 di Seberang Perai, saiz hendaklah ditingkatkan menjadi minimum 900 kaki persegi,” jelasnya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 2 September 2021.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut menjelaskan bahawa pemaju-pemaju perumahan juga dikehendaki menyediakan pelbagai kemudahan dan fasiliti kegunaan bersama seperti tempat riadah, dewan serba guna dan ruang bacaan (jika mengekalkan harga lama).

Tambah beliau, Kerajaan Negeri turut merancang pelan pemilikan RMM secara sewa beli (RTO) dengan sasaran bahawa sebanyak 22,000 unit kediaman.

“Sehingga kini, sejumlah 2,501 unit RTO telah dikenal pasti dan ditawarkan secara berkala yang mana sebahagian besar telah ditawarkan.

“Kerajaan Negeri akan terus melihat kepada lain-lain skim yang sesuai untuk dilaksanakan kaedah RTO bagi membantu isu kesukaran pembiayaan unit RMM A dan B termasuk dalam perancangan seperti Mak Mandin dan Murai Jaya,” jelasnya lagi sambil memberitahu bahawa pihaknya sedang berbincang dengan pemaju berkaitan untuk turut memasukkan RMM C di bawah kaedah RTO ini.

Sebelum pada itu, ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen membabitkan soalan mengenai inisiatif Kerajaan Negeri bagi merangsang pertumbuhan sektor pembangunan perumahan di Pulau Pinang bagi tempoh pandemik.

Beliau turut meminta Exco berkenaan menjelaskan mengenai bentuk-bentuk bantuan daripada pihak Kerajaan Negeri tawarkan kepada rakyat yang berhasrat membeli rumah pertama mereka, kini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB