RM51.9 juta demi tingkatkan kualiti hidup penduduk PPR Padang Tembak

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2008 hingga bulan Ogos 2021 membelanjakan sebanyak RM281.77 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan skim perumahan awam dan swasta yang layak.

Daripada angka itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo pagi tadi memberitahu bahawa sejumlah RM51,910,417.80 peruntukan penyelenggaraan dibelanjakan bagi meningkatkan daya huni serta kualiti hidup penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Tembak.

“Penyelenggaraan yang dibuat seperti pembaikan keretakan bangunan, kontrak pembersihan dan pembaikan kawasan serta harta guna sama.

“(Selain itu, perbelanjaan untuk) penukaran dan penyelenggaraan 27 unit lif di kesemua sembilan blok (PPR Padang Tembak),” jelasnya semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 2 September 2022.

Di samping itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut menjelaskan bahawa keputusan bagi pembaharuan semula PPR Padang Tembak memerlukan kajian menyeluruh dengan mengambil kira aspek perundangan hak milik strata terutamanya, sebelum dapat diputuskan.

“(Dan) dengan mengambil kira kos penyelenggaraan yang tidak lagi efektif dengan usia serta keadaan bangunan yang semakin usang dan serba ketinggalan daripada segi fasiliti dan keselesaan unit pembaharuan semula bandar, sememangnya pembaharuan semula skim perumahan ini merupakan opsyen terbaik bagi menangani permasalahan sedia ada.

“Kerajaan Negeri perlu membuat kajian selanjutnya bagi mempertimbangkan sebarang cadangan untuk penempatan semula ke lokasi yang berlainan,” katanya lagi sebagai menjawab soalan daripada ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD