Disiplin, lawan sifat malas kunci cemerlang dalam SPM

Admin

DISIPLIN, lawan sifat malas dan kurang motivasi adalah cabaran yang perlu dilalui NUR AMELIA MAZLAN, 18, ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tahun lalu akhirnya membuahkan hasil apabila anak bongsu daripada dua beradik itu berjaya meraih keputusan cemerlang dengan mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut Nur Amelia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) St. George, beliau cuba sedaya-upaya mengadaptasi norma baharu sesi pembelajaran tersebut meskipun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang berkuat kuasa sejak Mac 2020 hingga menyebabkan sekolah ditutup.

Jelasnya, persekitaran pembelajaran di rumah dan sekolah jauh berbeza memandangkan beberapa kekangan seperti sesi pembelajaran dalam talian yang terhad waktunya dan kekurangan bahan rujukan.

“Pembelajaran dalam talian tidaklah menyeluruh seperti di sekolah berikutan kekurangan waktu dan tidak boleh terus bertanya secara berdepan dengan guru-guru. Selalunya pada sesi online, guru-guru akan adakan perbincangan ringkas ataupun membincangkan jawapan sahaja.

“Selain mengulang kaji pelajaran secara sendiri, saya perlu mengambil inisiatif tambahan berhubung subjek yang sukar difahami melalui youtube mahupun tuisyen dalam talian.

“Agak mencabar juga kerana bahan rujukan yang tidak mencukupi, hendak keluar beli pun tidak boleh, justeru kebanyakan nota dan soalan-soalan ramalan serta latihan tambahan saya perlu mencetaknya, malah bila timbul rasa malas saya perlu ingatkan diri agar ‘bayar’ kembali pelajaran yang tertinggal dengan merujuk semula rakaman kelas atau tuisyen dalam talian yang tertinggal,” ujarnya ketika dihubungi menerusi Whatsapp pagi tadi.

Namun, semua kekangan dan cabaran tersebut tidak menghalangnya untuk berjaya sekali gus memperoleh keputusan cemerlang meskipun tiada gelak ketawa dan ulang kaji bersama rakan-rakan seperti suasana di bilik darjah kelazimannya.

Ditanya mengenai teknik belajar yang diterapnya, gadis ini berkata bahawa beliau betul-betul mendisiplinkan diri pada dua minggu terakhir sebelum peperiksaan besar berkenaan.

“Masa ini, tiada lagi main-main, kena buang rasa malas… belajar perlu ikut jadual secara disiplin kerana ia adalah masa kritikal untuk menyiapkan diri agar benar-benar menguasai segala pelajaran kerana waktu akhir nanti hanya perlu semak semula sahaja.

“Manakala, untuk subjek yang memerlukan pengiraan daripada awal saya telah membiasakan diri untuk membuat latihan.

“Lebih penting adalah mempunyai kawan-kawan yang tidak lokek untuk sama-sama membantu dan berkongsi ilmu, itu menguatkan kami untuk sama-sama berjaya,” ujar Nur Amelia sambil berkata bahawa penting untuk siapkan diri, yakin dan tawakal sebelum melangkah masuk ke dewan peperiksaan.

Impian untuk menjadi seorang Penasihat Ekonomi suatu hari nanti, Nur Amelia berhasrat melanjutkan pelajarannya di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Saya amat meminati bidang ekonomi dan perakaunan kerana suka membaca dan juga mengira, setakat ini saya telah temuduga untuk program asasi di UUM.

“Pada masa sama, saya juga ada memohon beberapa biasiswa di dalam negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Petronas dan lain-lain,” ujarnya sambil mengakhiri bicara dengan berterima kasih kepada kedua ibu bapanya dan para guru yang tidak jemu memberikan sokongan dan kata-kata perangsang.

Seramai 19,921 calon yang mengambil SPM bagi Pulau Pinang tahun lalu dan hasil keputusan yang diumumkan semalam negeri mencatatkan peningkatan jumlah calon yang layak menerima sijil tahun 2020 dengan 86.74 peratus berbanding 84.51 peratus pada 2019.

Sementara itu, bagi DELILAH DZULKIFLI pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul yang turut memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM menyatakan rasa syukurnya di atas kejayaan itu

Jelasnya, capaian serta kemudahan teknologi untuk belajar dalam talian bukanlah menjadi masalah, tetapi disiplin diri dan kekal fokus ketika PdPR dijalankan adalah cabaran untuknya.

“Mudah untuk memberi kata-kata motivasi untuk diri berbanding lakukannya kerana secara jujurnya agak bosan apabila perlu melalui pembelajaran dalam talian… ditambah pula apabila mengetahui bahawa peperiksaan SPM akan ditunda, ketika itu rentak belajar saya telah menurun.

“Namun, saya cuba tukarkan rasa malas tersebut dengan berfikiran positif bahawa peperiksaan yang ditunda memberikan saya lebih masa untuk belajar, jadi saya tidak boleh sia-siakannya dan syukur ianya berbaloi kini,” ujarnya sambil memberitahu bahawa ibubapanya merupakan semangat buat beliau untuk memberikan keputusan yang terbaik buat mereka.

Inspirasi daripada ayahnya yang merupakan seorang jurutera, Delilah berhasrat melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang yang sama.

“Saya percaya keputusan ini adalah hasil kesungguhan yang saya letakkan sebelum ini, ditambah dengan sokongan serta bimbingan para guru serta kawan-kawan yang susah senang bersama=sama,” ujarnya lagi.

Manakala bagi AAKSHAY SINGH DEO, pada peringkat permulaannya agak sukar buat beliau untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran dalam talian dan tarikh peperiksaan SPM yang ditunda sedikit sebanyak menimbulkan rasa tekanan buat beliau.

“Ibu yang sering beri motivasi dan perangsang buat saya kerana pada peringkat permulaan saya agak tertekan apabila perlu melalui pembelajaran dan tuisyen dalam talian.

“Sebagai anak sulung, saya mempunyai tanggungjawab besar untuk menjadi contoh buat adik-adik yang lain, tambahan pula sebagai seorang anak saya perlu buat ibu bapa bangga.

“Akhirnya, saya capai apa yang saya inginkan iaitu 8A dalam SPM. Setakat ini saya belum putuskan untuk menyambung pelajaran di mana, tetapi yang pastinya saya ingin meneruskan legasi karier keluarga sebalah ayah iaitu untuk menjadi seorang peguam,” ujarnya yang juga merupakan anak kepada Exco Kerajaan Negeri, Jagdeep Singh Deo.

Tahniah kepada semua pelajar yang meraih keputusan cemerlang, yang kurang berjaya jangan berputus asa sebalik jadikannya batu loncatan untuk memperbaiki diri.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA SUWANMANI