Lepasan SPM 2020 tetap rai kejayaan di rumah

Admin
ASHA Naziera Muhammad Aiman Tan diiringi ibu, Siti Fazilah Mat serta adik bongsu beliau menunjukkan keputusan cemerlang 8A+ dan 1A SPM 2020.

MACHANG BUBUK – Tiada lagi saat indah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merakamkan saat gembira bersama-sama guru dan rakan seperjuangan masing-masing di sekolah pada tahun ini.

Juga tiada lagi sorakan bercampur tangisan kegembiraan para pelajar sambil dipeluk oleh waris masing-masing di dewan sekolah selepas mengambil slip peperiksaan sebenar tersebut.

Ini kerana, para pelajar berkenaan hanya perlu memuat turun keputusan peperiksaan masing-masing secara dalam talian bermula pada 10 pagi semalam (10 Jun 2021).

ASHA NAZIERA MUHAMMAD AIMAN TAN, 18, yang mendapat 8A+ dan 1A mengaku bahawa beliau berkeinginan meraikan kejayaan bersama-sama rakan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian, Nibong Tebal.

Namun, beliau tetap bersyukur kerana dapat meraikan kejayaan dalam akademik tersebut bersama-sama keluarga di rumah.

“Saya tetap bersyukur.

“Teringat waktu belajar, lebih banyak secara dalam talian, saya bersyukur kerana ada cikgu yang sangat dedikasi.

“Kalau ada subjek yang saya tak faham, memang akan terus WhatsApp cikgu, kerana sekolah kami memang membenarkan pelajar bawa telefon pintar.

“Selain tidur lewat malam, kalau ada soalan yang saya tak faham, memang saya akan terus hubungi cikgu dan akan berusaha untuk faham secepat mungkin,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS di rumahnya dekat Alma, Bukit Mertajam.

Ditemani ibu, SITI FAZILAH MAT, dia memberitahu bahawa sekarang beliau sedang mengemas kini permohonan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat asasi.

“Kalau boleh saya nak masuk Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM).

“Nak pilih jurusan ini mungkin mencabar, macam saya ini seorang yang meminati subjek fizik tetapi tidak minat dengan mesin, jadi kalau boleh jurusan kejuruteraan itu saya nak elaklah.

“Saya rancang nak melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda dalam jurusan fizik namun di Universiti Awam ini tak banyak tawarkan sarjana muda dalam fizik, sebab itu saya sasar masuk UM dan lanjut pengajian (pengkhususan) fizik di sana,” jelasnya.

Beliau berhasrat untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang kajian berkaitan angkasa di luar negara seterusnya berkhidmat dengan badan berkaitan seperti Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA).

Sementara itu, seorang lagi pelajar lepasan SPM 2020 berkata, sungguhpun keputusan peperiksaan sebenar boleh diakses secara dalam talian, beliau tetap memanfaatkan capaian jalur lebar untuk saling meraikan kejayaan bersama-sama kawan yang lain.

JUDE Raj, 18, diiringi ayah, Joseph Savarimuthu dan ibu, Jebamalai Mary menunjukkan keputusan 3A+, 6A dan 1B+ SPM 2020.

JUDE RAJ, 18, yang mendapat 3A+, 6A dan 1B+ dalam SPM 2020 berkata beliau tetap menggunakan aplikasi WhatsApp untuk meraikan kejayaan bersama-sama rakan dan guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Damai, Alma.

“Kalau boleh memang nak ke sekolah bertemu guru-guru yang bersusah payah mengajar secara bersemuka dalam kelas, juga menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), tetapi keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak membenarkan sekarang.

“Jadi, saya dan rakan-rakan saling meraikan menerusi telefon pintar sahaja, sama seperti kami memanfaatkan internet untuk saling belajar sebelum SPM.

“Tidak ada ucapan boleh dilafazkan buat ayah dan ibu, juga guru-guru yang selama ini memberi dorongan untuk belajar bersungguh-sungguh semasa pandemik,” jelasnya lagi sambil ditemani ayah, JOSEPH SAVARIMUTHU, dan ibu, JEBAMALAI MARY.

Jade berkata buat masa ini beliau sedang bertungkus-lumus untuk mendapat tempat melanjutkan pengajian di matrikulasi dengan pilihan negeri Pulau Pinang, Kedah atau Selangor.

“Buat masa ini, tumpuan saya untuk masuk matrikulasi dahulu, selepas itu baru akan saya lihat apa peluang yang ada,” jelasnya lagi secara ringkas.

Enggan identiti diketahui khalayak, seorang guru yang dihubungi kemudian memberitahu Buletin Mutiara bahawa mereka menyambut baik keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mengarahkan pihak sekolah dan pelajar lepasan SPM memuat turun keputusan pemeriksaan berkaitan menerusi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT) dalam tempoh 10 hingga 17 Jun 2021 bagi tujuan mengemas kini permohonan daftar masuk ke matrikulasi atau Universiti Awam.

“Sebagai guru-guru, walaupun tahun ini agak berbeza, tidak dapat meraikan kejayaan murid-murid bersama-sama ibu bapa masing-masing, kami tetap akur dengan normal baharu.

“(Dan) adalah bagus juga lepasan SPM 2020 dengan ditemani ibu bapa serta waris tidak berpusu-pusu ke sekolah untuk mengambil slip keputusan peperiksaan yang dicetak oleh pihak (pentadbiran) sekolah.

“Cara ini lebih selamat, tidak mendedahkan semua pihak termasuk guru-guru sendiri pada risiko wabak COVID-19 yang masih ‘mengganas’ belakangan ini.

“Jangan kerana kita nak saling bersemuka untuk meraikan kejayaan ‘anak-anak’ kita hari ini, akan membawa kita berduka pada kemudian hari kerana ada yang positif COVID-19,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Buletin Mutiara kerana membuat liputan berita berkaitan kejayaan pelajar lepasan SPM 2020.