Dominasi Pulau Pinang sapu emas, perak acara foil wanita individu SUKMA 2026

b9803c15 e3ba 4590 afc7 e1ef4c891dd4 SURAYYA Rizzal dan Oo Chin Yu yang mendominasi acara foil wanita individu sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Selangor, seusai saingan, merakamkan gambar kenangan, di Dewan Pusat Sukan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, petang tadi.

SHAH ALAM, SELANGOR — Skuad lawan pedang wanita Pulau Pinang membuktikan dominasi mutlak apabila membolot kejuaraan dan tempat kedua bagi acara foil wanita individu sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 Selangor yang berlangsung di Dewan Pusat Sukan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, petang tadi.

Surayya Rizzal bertindak cemerlang menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Pulau Pinang selepas menewaskan rakan sepasukan, Oo Chin Yu, dalam perlawanan akhir yang mendebarkan.

cf63b4e2 d962 4c46 9d87 52e1d7b7f137
ANTARA gambar yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara di sini semalam.

Kekalahan di tangan rakan sepasukan itu sekali gus memaksa Chin Yu berpuas hati dengan pingat perak.

Pingat gangsa acara berkenaan pula disambar oleh atlet Sarawak, Juliet Judy Bangai.

Pengurus Pasukan Lawan Pedang Negeri, Agnes Wong, ketika dihubungi kemudian menzahirkan rasa terharu dan bangga atas pencapaian cemerlang dua atlet berkenaan yang mengharumkan nama negeri.

“Tahniah kepada kedua-dua atlet atas persembahan yang amat menarik dan bersemangat tinggi di arena saingan.

“Syabas khusus kepada Surayya Rizzal kerana berjaya mempertahankan momentum dan mengulangi kejayaannya memenangi pingat emas bagi acara foil wanita pada SUKMA 2024 lalu,” jelasnya menerusi panggilan telefon.

Kemenangan ini secara tidak langsung meletakkan skuad lawan pedang Pulau Pinang di landasan tepat untuk mencapai sasaran dua pingat emas yang ditetapkan oleh pengurusan bagi kejohanan sukan dwitahunan peringkat nasional kali ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB