‘Double standard’: Mansor utus surat kepada Peguam Negara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN – Polis yang didakwa tidak bertindak tegas keatas ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang memijak, mengoyak dan membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng akhirnya dipanjangkankepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman bertanya, mengapa mereka yang mengancam Guan Eng masih bebas sedangkan polis pada masa yang sama menahan serta merta kesemua suspek yang memijak serta membakar gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Janji Bersih 30 Ogos lepas bagi membantu siasatan.

“Malangnya tindakan keras yang dikenakan ke atas mereka yang memijak gambar Y.A.B. Perdana Menteri, tidak pula dikenakan ke atas ahli Perkasa yang bertanggungjawab melakukan tindakan yang tidak kurang biadapnya terhadap Y.A.B. Ketua Menteri,” kata beliau dalam surat rasmi kepada Peguam Negara bertarikh 14 September lalu di sini baru-baru ini.

Mansor mengutus surat tersebut kepada Abdul Ghani sebagai reaksi pada kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Assisten Komisioner Mazlan Kesah di akhbar Bahasa Inggeris, The Star pada 8 September lepas yang menyebut “polis tidak mempunyai bukti yang mencukupi” ke atas mereka yang didakwa mengancam Guan Eng sekeluarga.

“Jawapan itu susah untuk diterima (apa) bila ada saksi, gambar dan pengakuan oleh mereka yang terlibat,” ujar beliau sambil mengemukakan bukti berwajib untuk perhatian Jabatan Peguam Negara.
Pada 10 Mei lepas, pemuda Perkasa turut melancarkan majlis upacara kematian menurut adat agama Hindu ke atas Guan Eng di depan kediaman Ketua Menteri dan berlarutan sehingga ke pusat pemerintahan Kerajaan Negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Demi mendaulatkan undang-undang tanpa pilih kasih atau ‘double standard’  YBhg. Tan Sri (Abdul Ghani) harus mengambil tindakan tegas ke atas Perkasa,” ujar Mansor.

Dalam pada itu, Guan Eng  yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam satu kenyataan akhbar berasingan di Kuala Lumpur baru-baru ini mengecam tindakan individu-individu yang memijak gambar muka Najib sungguhpun beliau berbeza ideologi politik dengan perdana menteri itu.

“Jika Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein boleh berjanji bahawa kementeriannya akan mengambil tindakan dan mempercepatkan proses undang-undang ke atas pelaku-pelaku tersebut, adakah tindakan sama akan diambil keatas penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) yang melakukan tindakan yang serupa ke atas gambar-gambar pemimpin
Pakatan Rakyat (PR),” soal beliau baru-baru ini.

Beliau turut mempersoal wibawa Hishamuddin yang didakwa langsung tidak mengambil tindakan ke atas insiden mengancam peribadi Datuk S. Ambiga sekeluarga di kediaman Pengerusi Bersama bagi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sebelum ini.

Malah, beliau turut mempersoal kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) merangkap Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menuduh pemimpin pembangkang tidak menghormati pemimpin negara ekoran insiden gambar muka Najib dipijak oleh sekumpulan anak muda di Dataran Merdeka menjelang detik 31 Ogos lepas.

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab (apabila) menuduh pembangkang (Pakatan Rakyat) untuk suatu tindakan yang jelas bukan kerja kita.

“Kecaman Koh Tsu Koon terhadap insiden memijak gambar perdana menteri sementara berdiam (diri) apabila gambar saya dipijak dan upacara pengebumian dilakukan dengan (menggunakan) gambar saya,” tegas beliau.

Mengulas mengenai beberapa insiden konvoi bas PKR yang diserang dengan cat baru-baru ini, beliau berkata, Hishamuddin sepatutnya wajar untuk memberi jaminan keselamatan kepada semua rakyat, termasuk ke atas pemimpin Pakatan Rakyat. Selain bas PKR, difahamkan, ibu pejabat DAP Pulau Pinang dan pusat khidmat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP ADUN Datok Keramat (Jagdeep Singh), ADUN Pulau Tikus (Koay Teng Hai) dan ADUN Air Putih (Guan Eng) turut disimbah dengan cat merah.