NAMA DR. ABDUL RAHMAN ABDULLAH tidak asing lagi dalam dunia akademik negara. Beliau dikenali sebagai tokoh akademik, sejarawan dan penulis prolifik yang banyak menyumbang kepada perkembangan bidang Sejarah Pemikiran, Falsafah dan Tamadun Islam di Alam Melayu.
Memulakan kerjaya sebagai pensyarah sejarah di Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1984, beliau sebelum itu merupakan seorang guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI), Tanjung Malim.
Minat yang mendalam terhadap ilmu mendorong beliau menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana di USM sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sepanjang karier akademiknya, Dr. Abdul Rahman telah menghasilkan pelbagai karya penting yang menjadi rujukan dalam bidang sejarah dan pemikiran Islam, antaranya Pemikiran Islam di Malaysia: Sejarah dan Aliran, Pengantar Ilmu Sejarah, Gerakan Islah di Perlis: Sejarah dan Pemikiran serta Wacana Falsafah dan Sejarah.
Sumbangan besar beliau turut diiktiraf menerusi penerbitan sebuah buku khas (festschrift) bertajuk Isu-Isu Terpilih dalam Sejarah Pemikiran: Sumbangsih kepada Dr. Abdul Rahman Abdullah sebagai penghargaan terhadap pemikiran dan karya-karyanya.

Minat terhadap seni lukis
Di sebalik kejayaan dalam bidang akademik, Dr. Abdul Rahman mendedahkan bahawa minat asalnya bukanlah terhadap sejarah atau penulisan, sebaliknya seni lukis.
“Kalau hendak dikira dari segi semula jadi, minat saya sebenarnya ialah melukis. Ketika di bangku sekolah, saya bercita-cita menjadi seorang pelukis dan kerana terlalu meminati bidang itu, saya agak kurang cemerlang dalam akademik,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, MUHAMMAD IQBAL HAMDAN ketika ditemui sempena wawancara khas di kediaman beliau dekat Kepala Batas baru-baru ini.
Beliau mengakui pernah mengagumi pelukis dan penyair terkenal, Datuk Latiff Mohidin serta pelukis tersohor, Abdullah Hussein, sehingga memasang impian untuk menjadi seperti mereka.
Namun, perjalanan hidupnya berubah ketika membantu ayahnya yang merupakan seorang tok guru pondok dan pada masa sama menjual ubat majun.
“Saya sering diminta membeli bahan-bahan untuk menghasilkan majun.
“Setiap kali keluar membeli bahan tersebut, saya akan singgah di kedai buku untuk mencari buku berkaitan lukisan,” ujarnya.
Karya Hamka mengubah kehidupan
Menurut beliau, pertemuan secara tidak sengaja dengan sebuah buku tulisan Allahyarham Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.
“Saya terpegang sebuah buku falsafah berkaitan ketuhanan tulisan Hamka yang diterbitkan oleh Abbas Bandung.
“Saya membelinya sekadar suka-suka kerana pada masa itu saya langsung tidak berminat dengan bidang akademik, namun, buku itu seolah-olah mempunyai daya tarikan yang luar biasa.
“Dari satu halaman ke satu halaman, saya terus membaca dan mula dipenuhi pelbagai persoalan mengenai falsafah dan kehidupan,” katanya.
Daripada situlah timbul rasa ingin tahu yang mendalam sehingga mendorong beliau membaca lebih banyak karya Hamka, khususnya berkaitan falsafah dan tasawuf moden.
Malah, beliau pernah mengutus sepucuk surat kepada Hamka bagi mendapatkan jawapan terhadap beberapa persoalan yang bermain dalam fikirannya dan lebih mengujakan apabila tokoh ulama dan sasterawan itu membalas surat tersebut.

Mengagumi Imam Al-Ghazali dan Syed Muhammad Naquib Al-Attas
Selain Hamka, Dr. Abdul Rahman turut menjadikan Imam Al-Ghazali sebagai tokoh yang paling banyak mempengaruhi pemikirannya.
Beliau menyifatkan Imam Al-Ghazali sebagai seorang polymath, iaitu ilmuwan yang menguasai pelbagai cabang ilmu secara mendalam.
“Sehingga kini saya mempunyai kesemua 40 kitab terjemahan Imam Al-Ghazali. Beliau merupakan tokoh yang banyak membentuk pemikiran saya dan menjadi panduan dalam menghasilkan hampir 40 karya setakat ini,” katanya.
Beliau turut mengagumi tokoh pemikir peradaban Islam, Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, malah pernah mengutus surat kepada tokoh berkenaan untuk berdialog dan bertukar pandangan.
Karya yang membawa kontroversi
Mengimbau perjalanan sebagai penulis, Dr. Abdul Rahman mengakui sebuah bukunya yang diterbitkan pada tahun 1997, Pemikiran Islam Masa Kini: Sejarah dan Aliran, memberi kesan paling besar dalam kehidupannya.
Beliau menyifatkan penerbitan buku itu sebagai satu “malapetaka besar” kerana kandungannya yang dipengaruhi sentimen politik ketika itu sehingga hampir menyebabkan beliau kehilangan jawatan sebagai pensyarah di USM.
“Saya turut disenarai hitam dan dihalang daripada kenaikan pangkat selepas pihak universiti mengetahui tentang buku ini.
“Alhamdulillah, saya tidak disingkirkan dan karya itu menjadi buku terakhir berkaitan politik yang saya tulis,” katanya.
Setiap karya ada nilai tersendiri
Walaupun pernah berdepan pelbagai cabaran, Dr. Abdul Rahman enggan menamakan mana-mana karya sebagai yang terbaik.
Bagi beliau, setiap buku yang dihasilkan mempunyai nilai sentimental dan keistimewaan tersendiri pada waktu karya tersebut ditulis.
Antara karya yang amat dekat di hatinya ialah trilogi Ensiklopedia Sejarah Turki, iaitu Membongkar Zaman Sebelum Uthmaniyah dan Zaman Uthmaniyah (Jilid 1), Membongkar Sejarah Kejatuhan Kerajaan Uthmaniyah dan Pra Kemunculan Mustafa Kamal Ataturk (Jilid 2), serta Membongkar Sejarah Ancaman Sekularisme dan Proses Islamisasi di Turki Moden (Jilid 3).
“Saya tidak boleh mengatakan karya saya yang terbaik kerana yang layak menilai adalah pembaca, bukan saya.
“Tetapi bagi saya, semua karya adalah terbaik dan mempunyai nilai sentimental yang tersendiri.
“Apa yang penting, setiap karya yang dihasilkan mestilah mempunyai ilmu yang bermanfaat untuk masyarakat,” katanya ketika ditanya mengenai karya paling istimewa yang dekat di hati beliau.

Sumbangan sejarah Islam kepada tamadun dunia
Menurut Dr. Abdul Rahman Abdullah, sejarah tidak dapat dipisahkan daripada tamadun kerana kedua-duanya saling berkait dalam membentuk perkembangan sesebuah masyarakat dan peradaban.
Beliau menjelaskan bahawa kajian sejarah secara mendalam akan memperlihatkan bagaimana tamadun Islam telah memberi pengaruh besar terhadap pembentukan tamadun Barat moden.
“Jika kita kaji secara lebih mendalam, kita akan melihat bagaimana pengaruh Islam telah membentuk tamadun Barat pada hari ini.
“Walaupun Barat sering memandang serong terhadap Islam, hakikatnya mereka telah membawa pulang buku-buku yang ditulis oleh sarjana Islam dan menjadikannya sebagai panduan untuk membina tamadun mereka,” katanya.
Menurut beliau, ketika Eropah berada dalam era yang dikenali sebagai Zaman Gelap (Dark Ages), dunia Islam pula sedang menikmati zaman kegemilangannya atau The Golden Age, yang menyaksikan perkembangan pesat dalam pelbagai bidang ilmu seperti falsafah, sains, perubatan, matematik, astronomi dan teknologi.
Beliau berkata, karya-karya agung yang dihasilkan oleh sarjana Islam seperti Ibn Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi, Al-Ghazali dan Ibn Rushd bukan sahaja menjadi rujukan di dunia Islam, malah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebelum digunakan secara meluas di universiti-universiti Eropah.
“Justeru, sejarah membuktikan bahawa tamadun dunia hari ini dibina atas sumbangan pelbagai peradaban dan tamadun Islam merupakan antara penyumbang terbesar kepada perkembangan ilmu dan kemajuan manusia sejagat,” tambah beliau.
Perkembangan dunia penulisan di Malaysia
Dr. Abdul Rahman berpendapat bahawa dunia penulisan dan penyelidikan di Malaysia kini menunjukkan perkembangan yang semakin memberangsangkan dengan pertambahan penerbitan buku-buku ilmiah dan akademik.
Namun begitu, beliau berkata lambakan bahan bacaan yang kurang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya novel berbentuk khayalan, dilihat sebagai satu cabaran kepada perkembangan budaya ilmu dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, walaupun industri penerbitan negara semakin berkembang, kecenderungan masyarakat terhadap bahan bacaan ringan menyebabkan minat terhadap buku-buku ilmiah semakin berkurangan.
“Buku-buku novel terutama yang berunsurkan fantasi dan khayalan, mempunyai kelompok peminat yang besar sehingga menyebabkan sebahagian generasi muda kurang berminat untuk menelaah buku-buku akademik dan ilmiah yang lebih mencabar dari segi kandungan.
“Buku-buku ilmiah sebenarnya memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran kritis dan menambah pengetahuan masyarakat.
Namun, sambutan terhadapnya masih belum setanding dengan populariti novel,” katanya.

Beliau turut membandingkan penerimaan masyarakat terhadap novel dan buku akademik dengan menyatakan bahawa novel lebih popular dalam kalangan remaja, manakala buku ilmiah sering kali hanya mendapat perhatian golongan tertentu.
Menurut Dr. Abdul Rahman, terdapat juga novel yang berjaya menarik perhatian pembaca kerana menyelitkan unsur-unsur keagamaan dan nilai-nilai murni dalam penceritaan, sekali gus meningkatkan daya tarikan karya tersebut.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan kebimbangan bahawa populariti novel yang semakin meningkat mungkin menyebabkan permintaan terhadap penerbitan akademik dan ilmiah terus menurun.
Beliau turut menyentuh fenomena penulis yang menerbitkan buku secara kendiri serta menguruskan penjenamaan mereka sendiri, yang dilihat memberi impak positif terhadap prestasi jualan dan capaian pembaca.
Selain itu, Dr. Abdul Rahman berkata budaya pembelian buku di Malaysia juga semakin dipengaruhi oleh perkembangan media digital, termasuk perkongsian kandungan dan ulasan buku di platform seperti YouTube yang mampu membantu meningkatkan minat masyarakat terhadap bahan bacaan.
Bagaimanapun, beliau berharap masyarakat, khususnya golongan muda, dapat mengimbangi minat membaca antara karya kreatif dan bahan ilmiah agar budaya ilmu terus subur serta mampu melahirkan generasi yang berpengetahuan dan berfikiran kritis.
Legasi ilmu
Dr. Abdul Rahman berpendapat bahawa minat terhadap sesuatu bidang, khususnya penulisan dan penyelidikan, tidak boleh diwariskan meskipun seseorang dibesarkan dalam persekitaran yang kaya dengan ilmu dan budaya membaca.
Menurut beliau, sebagai seorang penulis dan akademik, sudah tentu beliau berharap agar anak-anaknya turut mewarisi minat yang sama dalam dunia penulisan.
Namun, beliau menyedari bahawa minat seseorang tidak boleh dipaksa atau ditentukan oleh latar belakang keluarga semata-mata.
“Saya berbangga kerana keenam-enam anak saya berjaya menjadi pendidik sama ada sebagai guru mahupun pensyarah, tetapi tiada seorang pun yang menunjukkan minat mendalam dalam bidang penulisan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kepintaran dan kecemerlangan akademik tidak semestinya menjamin seseorang akan meminati bidang tertentu seperti penulisan dan penyelidikan.
“Malah, ramai anak muda pada hari ini dilihat kurang berminat untuk mengikuti jejak kerjaya generasi terdahulu walaupun golongan berpengalaman itu telah mencapai pelbagai kejayaan.
“Menjadi teladan atau memberikan pendedahan sahaja tidak semestinya mampu menarik minat seseorang untuk menceburi sesuatu bidang.
“Sebaliknya, minat dan motivasi dalaman memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan hala tuju seseorang,” ujarnya.
Walaupun begitu, Dr. Abdul Rahman berharap segala karya yang telah dihasilkannya dapat menjadi legasi ilmu dan bahan rujukan kepada generasi muda pada masa kini dan akan datang.
Mengulas mengenai usaha melahirkan lebih ramai penulis dan penyelidik, beliau menegaskan bahawa pengaruh seseorang tokoh boleh berlaku secara tidak langsung.
“Ada individu yang mungkin hanya mengagumi atau mencontohi seseorang tokoh pada masa hadapan tanpa melalui proses pembelajaran formal.
“Oleh itu, golongan muda digalakkan agar mengenali diri sendiri dan mencari minat masing-masing, bukannya dipaksa untuk mengikuti sesuatu bidang yang tidak diminati,” katanya.
Menurutnya, bimbingan dan peranan mentor tetap penting, namun ia perlu diberikan secara terpilih mengikut kesesuaian individu.
“Terdapat juga mereka yang berjaya berkembang melalui usaha sendiri dengan mengumpul bahan, belajar secara kendiri dan terus memperkaya ilmu mengikut kemampuan masing-masing.
“Teladan dan contoh yang baik sememangnya membantu dalam membentuk minat seseorang, namun ia tidak mencukupi tanpa bimbingan yang sesuai serta inisiatif individu itu sendiri,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau percaya bahawa kesabaran dan pengaruh secara tidak langsung mampu memberikan kesan yang besar dalam jangka panjang, meskipun hasilnya mungkin tidak dapat dilihat dengan segera.
Bagi Dr. Abdul Rahman, yang paling penting ialah memastikan legasi ilmu terus hidup dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Makna sebuah kejayaan
Ditanya mengenai makna sebuah kejayaan bagi seorang ilmuan, Dr. Abdul Rahman berkata kejayaan yang sebenar bagi seorang insan termasuk ilmuan ialah mencapai keredaan Allah.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan sebenar bergantung kepada keikhlasan niat dalam setiap amalan yang dilakukan.
Menurut beliau, amalan zahir seperti solat, puasa dan bersedekah tidak membawa sebarang makna sekiranya dilakukan demi mendapatkan nama, populariti atau pujian manusia.
“Sebaliknya, setiap ibadah dan kebaikan mestilah dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT,” ujarnya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir masyarakat yang terlalu menghargai pujian dan pengiktirafan awam.
“Ada yang merasakan diri mereka telah mendapat keredaan Allah hanya kerana nama mereka disebut, dipuji atau dihormati oleh orang ramai.
“Hakikatnya, pengiktirafan manusia bukanlah ukuran sebenar penerimaan sesuatu amalan di sisi Tuhan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menekankan pentingnya setiap individu sentiasa melakukan muhasabah diri dan menilai semula niat dalam setiap perkara yang dilakukan.
Katanya, perasaan takut terhadap kemungkinan amalan tidak diterima seharusnya mendorong seseorang untuk terus memperbaiki diri dan membetulkan niat.
Menurut beliau lagi, seseorang mungkin menghabiskan siang dan malam dengan pelbagai bentuk ibadah, namun tanpa keikhlasan, semua amalan itu boleh menjadi sia-sia dan tidak bernilai di sisi Allah, bahkan diibaratkan seperti debu yang berterbangan.
“Kejayaan sebenar ialah apabila setiap amalan dilakukan dengan penuh keikhlasan dan diterima oleh Allah SWT.
“Itulah kejayaan hakiki yang membawa kebahagiaan bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat,” katanya menutup bicara.