Exco cadang bangunkan semula industri tuna & tiram di Pulau Pinang

Admin

EXCO Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menerima kunjungan hormat Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Pulau Pinang, Nik Yahya Ab. Rahman di pejabatnya di Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengarah LKIM Negeri Pulau Pinang, Fauzi Ghazali.

Antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan selama 30 minit itu adalah mengenai cadangan untuk memulihkan semula industri pendaratan ikan tuna di jeti dekat Batu Maung serta penternakan tiram di kawasan Sungai Kerian, Seberang Perai Selatan dan Balik Pulau, Barat Daya.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan agensi berkaitan bagi melihat sejauhmana cadangan ini mendatangkan hasil kepada Pulau Pinang,” kata Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Turut dicadangkan adalah inisiatif melabuhkan tukun tiruan, aktiviti membabitkan nelayan serta cabaran yang bakal dihadapi nelayan pada masa hadapan.