Pakar jayakan Persidangan Serantau Asia GRB

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOW N– Penganjuran Persidangan Serantau Asia Bajet Responsif Gender (GRB) bertemakan Transformasi Institusi, Pemberdayaan Komuniti yang bakal diadakan pada 24 dan 25 Februari ini adalah penting untuk menambah pengetahuan berhubung pelaksanaan GRB di peringkat awal di sini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng berkata, pelaksanaan tersebut dapat dicapai melalui perbincangan, penerangan dan diskusi.

“Imej sebuah bandar yang ke hadapan dan progresif adalah pra syarat utama dalam melaksanakan urus tadbir yang baik dalam kesaksamaan gender serta keadilan sosial.

“Arah tuju yang betul untuk mencapai matlamat pelaksanaan bajet partisipasi dan responsif gender adalah melalui pihak berkuasa tempatan serta Kerajaan Negeri itu sendiri,’’ ujarnya pada pengumuman Persidangan Serantau Asia GRB di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu dan Ketua Eksekutif GRB, Tan Pek Leng.

Persidangan julung kali tersebut adalah hasil usahasama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bersama Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan agensi Pertubuhan Wanita Bangsa-bangsa Bersatu (UN WOMEN).

Persidangan dua hari tersebut bakal disertai oleh pakar dari serantau Asia dan Eropah termasuk perwakilan, penceramah dan pakar rujukan dari Nepal, India, Indonesia, Filipina, Korea, Jerman, Portugal serta Austria.

Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang PWDC di grbconference@ grb-pwdc.org.my untuk pendaftaran.

Tempat adalah terhad.