BUKIT TAMBUN — Pembangunan Projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Sungai Siam kini siap sepenuhnya dan akan menjadi penanda aras baharu dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, pencegahan pencemaran serta pemerkasaan aktiviti ekopelancongan yang berasaskan komuniti di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan pelancaran Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA), ia akan memangkin kejayaan pembangunan projek DSK Sungai Siam di sini.
“Denai sungai bukan sekadar laluan di sepanjang aliran sungai, tetapi merupakan nadi ekosistem semula jadi yang berperanan penting dalam menghidupkan biodiversiti dan menghubungkan manusia dengan alam sekitar yang kian terpinggir akibat arus kemodenan,” jelasnya semasa merasmikan program berkaitan di Dataran Kejat Denai Sungai Siam berdekatan Taman Merak di sini pada 8 Ogos 2026.
Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyatakan bahawa inisiatif DSK bukan sekadar pembinaan laluan riadah di sepanjang aliran sungai, sebaliknya merupakan strategi tindakan pencegahan pencemaran berasaskan alam semula jadi (nature-based solution) bagi mengurangkan risiko banjir serta memulihara biodiversiti tempatan.
“Pelaksanaan program ini (diharap) memupuk rasa kepunyaan dan tanggungjawab terhadap sungai dalam kalangan komuniti setempat.
“Pada masa sama, ia membuka lembaran baharu dalam bidang ekopelancongan dan rekreasi mesra alam yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi tempatan seiring dengan Visi Penang2030,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Menurut beliau, projek DSK Sungai Siam merangkumi pembinaan pelbagai infrastruktur mesra pengguna dan selamat termasuk laluan denai jenis Crusher Run sepanjang 400 meter (m), denai konkrit sepanjang 170m, tembok penahan (Gabion Wall), Dataran Kejat, serta lintasan sepanjang 24m bagi memudahkan pergerakan pengguna melintasi sungai.
“Kemudahan tersebut akan memberi manfaat secara langsung kepada lebih 400 penduduk setempat sebagai kawasan rekreasi dan aktiviti kemasyarakatan.
“Pelancaran di Sungai Siam ini melengkapkan pencapaian negeri Pulau Pinang yang sehingga kini telah berjaya membangunkan sebanyak 57 denai sungai dengan panjang keseluruhan mencapai 93.24 kilometer (km) di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa projek pembangunan denai sungai di sini juga menjadi medium penting dalam menyokong Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management – IRBM) untuk meningkatkan kualiti air dan mengurangkan risiko banjir.
“Sehingga kini, tiga pelan IRBM telah siap disediakan iaitu IRBM Sungai Juru, IRBM Sungai Muda dan IRBM Sungai Perai, manakala IRBM Sungai Jawi kini berada dalam peringkat pelaksanaan,” ulasnya lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah meluluskan Projek Pemuliharaan Sungai Juru di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bermula tahun 2026.
“Projek yang kini di peringkat lantikan perunding itu bertujuan mengurangkan hakisan tebing, mencegah kerosakan infrastruktur, serta mengatasi isu pencemaran sampah di dalam sungai,” tambahnya.
Turut berucap, Pengarah Pengairan dan Saliran Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PertahananAwam) Ooi Soon Lee.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa merangkap ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat merangkap ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik turut sertai acara tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI