GEORGE TOWN – Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) terus memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar apabila memperluaskan kempen ‘No Plastic; Own Container’ ke institusi pendidikan, dengan SMK Tunku Puan Habsah menjadi sekolah kedua menyertai inisiatif tersebut bagi membudayakan penggunaan bekas makanan boleh guna semula dalam kalangan guru dan pelajar.
Pengerusi PWM, Puan Tan Lean Kee berkata, pendekatan membawa projek tersebut ke sekolah dibuat selepas pihaknya mendapati perubahan tingkah laku yang berkekalan tidak boleh bergantung kepada kempen kesedaran semata-mata, sebaliknya perlu bermula menerusi pendidikan.
Menurut beliau, sejak penghujung tahun 2024, PWM bersama rakan strategik, pihak berkuasa tempatan, komuniti setempat serta pengusaha pusat penjaja dan kedai kopi telah menganjurkan lebih 15 kempen komuniti penggunaan bekas makanan (tiffin) di seluruh negeri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap plastik sekali guna.
“Kesedaran itulah yang mendorong kami membawa Projek Tiffin ke sekolah-sekolah kerana sekolah merupakan tempat nilai-nilai murni dipupuk, amalan positif dibentuk dan pemimpin masa hadapan dilahirkan.
“Kami percaya pendidikan merupakan asas paling penting untuk melahirkan generasi yang mengamalkan gaya hidup lestari,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek ‘No Plastic; Own Container’ di SMK Tunku Puan Habsah, dekat sini pada 7 Ogos 2026.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Rizal Ismail; Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut, Baharuddin Hashim; Pengetua SMK Tunku Puan Habsah, Ruzana Zakaria; Pengarah Syarikat YBS Corporation, Dato’ Jimmy Ong; Pengarah Projek merangkap bekas Pengerusi Lions Club George Town, Lion Peter Chung; Pengerusi Lions Club George Town, Lion Kenji Tan; Gabenor Daerah Lions Club, Lion David Seow dan Pengerusi Daerah Perhubungan Sekolah Lions Club, Lion Winnie Khoo.


Pada majlis tersebut, setiap guru dan pelajar menerima satu set bekas makanan (tiffin) sebagai galakan mengamalkan penggunaan bekas makanan boleh guna semula, sekali gus mengurangkan penggunaan pembungkusan plastik sekali guna.
Mengulas lanjut, Lean Kee berkata, guru berperanan sebagai duta kelestarian yang mampu memimpin melalui teladan, manakala pelajar pula merupakan ejen perubahan yang boleh mempengaruhi keluarga dan seterusnya komuniti.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif berkenaan selaras dengan agenda kelestarian Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang akan melaksanakan inisiatif ‘Zero Plastic’ bermula 1 September 2026.
Menurutnya, kerjasama antara sekolah, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti mampu menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan dalam memelihara alam sekitar serta merealisasikan pembangunan mampan.
“Walaupun sebuah bekas makanan kelihatan ringkas, mesej yang dibawanya amat besar.
“Dengan menggalakkan penggunaan bekas makanan boleh guna semula, kita mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, meminimumkan sisa buangan dan membentuk amalan bertanggungjawab sejak usia muda.
“Falsafah projek ini mudah iaitu sekolah mempengaruhi pelajar, pelajar mempengaruhi keluarga dan keluarga mempengaruhi komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lions Club of George Town, SMK Tunku Puan Habsah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), para guru, ibu bapa, sukarelawan, penaja dan semua rakan kerjasama yang menjayakan projek berkenaan.
Beliau berharap inisiatif tersebut dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja memahami kepentingan kelestarian alam sekitar, malah mengamalkannya dalam kehidupan seharian selaras dengan aspirasi “ESG Bermula di Sekolah: Menyemai Minda Hijau, Membina Masa Depan Mampan.”
Sementara itu, Ruzana berkata berharap Projek ‘No Plastic; Own Container’ mampu membudayakan amalan membawa tiffin sendiri dalam kalangan pelajar, sekali gus mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja menyemai kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar, malah berupaya melahirkan pelajar sebagai ejen perubahan yang membawa amalan lestari kepada keluarga dan masyarakat.
“Harapan saya agar semua murid dapat menjadikan penggunaan tiffin sebagai satu amalan harian, seterusnya menjadi ejen perubahan yang menyebarkan mesej kelestarian kepada keluarga dan komuniti,” katanya.


Pada masa sama, Ruzana merakamkan penghargaan kepada PWM dan Lions Club atas komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan serta kebajikan warga SMK Tunku Puan Habsah.
Beliau berkata, hubungan kerjasama antara Lions Club dan sekolah tersebut telah terjalin sejak tahun 1970-an lagi dan terus diperkukuhkan sehingga hari ini, sekali gus membuktikan komitmen tinggi pertubuhan itu terhadap tanggungjawab sosial serta pembangunan komuniti.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan kepada warga sekolah, termasuk pemberian kasut sekolah kepada murid yang memerlukan, sumbangan makanan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), penyediaan penapis air, kipas di Sudut Ilmu, kerusi batu sebagai ruang pembelajaran alternatif serta bantuan cermin mata kepada pelajar yang memerlukan.
Justeru, beliau mewakili seluruh warga SMK Tunku Puan Habsah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa, kepakaran dan sumber demi kebajikan pelajar.
“Setiap sumbangan yang diberikan amat besar nilainya dan akan terus dikenang.
“Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan demi melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap alam sekitar dan memiliki nilai tanggungjawab sosial yang tinggi,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI