Dua kes pendakwaan SPRM terhadap dirinya tak berasas, kata Guan Eng

BAGAN JERMAL – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menganggap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebenarnya langsung tiada asas kerana menuduhnya menerima sejumlah suapan berkaitan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang.

Bercakap kepada pemberita, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) kebangsaan berkata bahawa pihak SPRM langsung tidak menunjukkan seberang bukti berwajib dalam siri penyiasatan yang dibuat terhadapnya sebelum ini.

Namun, menurut Guan Eng, SPRM di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat lepas ada menuduhnya atas tuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Malah pada pagi tadi, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth konon-konon menerima tuduhan menerima suapan kira-kira RM3.3 juta yang dikaitkan dengan projek yang sama.

Bagi kedua-dua kes yang dibacakan secara berasingan itu, Guan Eng mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di depan hakim.

“Ini jelas suatu tuduhan yang tidak berasas.

“Ini kerana, saya tidak pernah terima jumlah (suapan) tersebut dan SPRM juga tidak pernah minta saya tunjuk bukti mereka akan kesan wang ini dalam akaun bank saya, ataupun, ada (bukti berupa) wang tunai sebanyak RM3.3 juta.

“Ini tidak pernah ditanyakan oleh SPRM,” jelasnya kepada pemberita dekat Pusat Khidmat DAP Ahli Parlimen Bagan di sini pada 10 Ogos 2020.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Gelang Patah, Johor, Lim Kit Siang; Ketua Pasukan Pembelaan merangkap Ahli Parlimen Puchong, Selangor, Gobind Singh Deo dan beberapa pemimpin Kerajaan Negeri lain turut sertai sidang media tersebut.

Pada pagi tadi, Guan Eng didakwa mengikut seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun; didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau sepuluh ribu ringgit mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALVIE CHENG