Dua muka baru angkat sumpah Ahli Majlis MBPP 2022

GEORGE TOWN – Dua muka baharu merupakan antara 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 2022 yang mengangkat sumpah serta ikrar terimaan jawatan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow hari ini.

Mereka ialah Ooh Sin Hwa daripada Pertubuhan Buddhist Bersatu Pulau Pinang dan Norhafiza Huda Idris (Persatuan Kemajuan Nusa Pulau Pinang) yang masing-masing dilantik selama setahun berkuat kuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2022.

Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. A. Rajendran serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad.

Ketua Menteri bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan 24 Ahli Majlis MBPP yang dilantik bagi tahun 2022.

Semasa berucap, Kon Yeow berharap agar semua Ahli Majlis dapat memahami fungsi serta bidang tugas masing-masing selain perlu sentiasa peka terhadap situasi semasa supaya sistem penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat.

“Justeru, semua Ahli Majlis harus memberikan perhatian terperinci dan melakukan segala usaha untuk memastikan kemudahan-kemudahan bakal disediakan adalah memenuhi piawaian serta standard yang tinggi.

“Sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan rakyat, Ahli Majlis juga perlu berperanan sebagai barisan hadapan dalam perundingan untuk menangani aduan awam dengan pantas,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Tambah beliau, selain penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan banyak pihak, isu bencana alam dan perubahan iklim juga bakal menjadi cabaran baharu yang perlu ditangani oleh MBPP.

Ooh Sin Hwa.

“Pada tahun-tahun akan datang, bandar raya kita akan berdepan lebih banyak cabaran seperti pelepasan gas rumah hijau, pencemaran serta tekanan pembandaran yang memerlukan pendekatan menyeluruh untuk menangani krisis iklim.

“Oleh yang demikian, MBPP perlu terus peka terhadap perubahan iklim dalam merancang serta mengawasi projek pembangunan dan pada masa sama, harus bersiap sedia sebagai salah satu agensi peneraju bertanggungjawab dalam pengurusan bencana seperti banjir, tanah runtuh serta pokok tumbang.

“Kerajaan Negeri berharap dengan berbekalkan segala pengalaman, pelan dan perancangan rapi, Pulau Pinang mampu mengendalikan pengurusan bencana dengan lebih cekap serta berkesan,” ujarnya.

Sementara itu, Tung Seang berkata bahawa komitmen serta dedikasi warga MBPP termasuk Ahli-Ahli Majlis telah membolehkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah termasuk di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, antara anugerah yang berjaya diraih MBPP pada tahun 2021 termasuklah 4th Wigo Award – Gold Award for Green Connectivity; Jean-Paul-L’Allier Proze for Heritage; National Scroll of Honour Award for Human Settlement; Anugerah Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang; Piala Inovasi Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) dan Anugerah Asean Clean Tourist City Standard (ACTC).

Norhafiza Huda Idris.

“Semua pengiktirafan yang diterima ini membuktikan bahawa MBPP sedang berada di landasan tepat terutamanya dalam memberi fokus dan tumpuan utama dalam mewujudkan sebuah bandar raya rendah karbon yang mampan serta berdaya saing.

“Pengiktirafan ini juga menjadi dorongan kepada MBPP untuk terus memperkasa dan mempergiatkan lagi pelaksanaan Agenda Hijau,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Tung Seang menyatakan bahawa mengambil iktibar daripada pelbagai bencana yang melanda dunia termasuk kejadian banjir besar di beberapa negeri baru-baru ini, MBPP akan terus memperkasakan hala tuju ke arah bandara raya pintar, berdaya huni dan gembira melalui perancangan pembangunan mampan.

“MBPP amat komited dalam pelaksanaan inisiatif hijau yang berimpak tinggi selaras dengan usaha digariskan dalam National Determined Contributions (NDC) untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau bagi mengurangkan jejak karbon serta melambatkan impak perubahan iklim,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD