Tubuh unit khas tangani bencana dan isu perubahan iklim

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam perancangan untuk menubuhkan unit khas yang dinamakan Unit Pengurusan Bencana sebagai langkah kesiapsiagaan dalam mendepani krisis perubahan iklim dan bencana banjir di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebagai sebuah negeri yang sentiasa terdedah kepada bencana alam, Pulau Pinang perlu melakukan persediaan tanpa perlu terlalu bergantung kepada bantuan daripada agensi Kerajaan Persekutuan.

“Kita (Kerajaan Negeri) mengambil iktibar daripada banjir besar yang melanda Pulau Pinang pada tahun 2017.

Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri menyambut kepulangan kakitangan MBPP yang selesai menjalankan tugas dalam misi bantuan pasca banjir di Selangor di sini sebentar tadi.

“(Dan) kita mengakui bahawa telah ada usaha dilakukan selepas kejadian itu, tetapi saya sendiri hendak melihat tindakan yang lebih konkrit supaya Pulau Pinang mempunyai daya tahan dalam menghadapi bencana dan krisis perubahan iklim.

“Justeru, kita melihat bahawa adanya keperluan untuk menubuhkan unit baharu ini sebagai langkah kesiapsiagaan bukan sahaja dalam menghadapi bencana, tetapi juga merangkumi proses yang menyeluruh termasuk isu perancangan.

“Misalnya, kita akan melihat keperluan untuk meningkatkan piawaian dalam pembinaan sistem perparitan bagi projek pembangunan baharu agar ia mampu menampung jumlah hujan yang bertambah secara mendadak,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara mengangkat sumpah serta ikrar penerimaan jawatan 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. A. Rajendran.

Meninjau pelaksanaan projek pengukuhan tembok penahan ombak sepanjang 570 meter dekat Jalan Tun Syed Sheh Barakbah

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa melalui penubuhan Unit Pengurusan Bencana, Kerajaan Negeri dapat melihat isu pengurusan bencana secara lebih holistik dan menyeluruh.

“Memang niat kita mahu menggembleng pendekatan ‘whole-of-government dan whole-of-society’ kerana di Pulau Pinang kita mempunyai banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan badan kebajikan yang sudi membantu jika berlaku sebarang bencana.

“Namun begitu, unit ini bukan sahaja untuk menggembleng pihak berkaitan semasa bencana, tetapi kita juga akan turut melibatkan badan-badan ini di peringkat perancangan.

“Oleh itu, diharapkan dengan adanya unit ini, kita (Kerajaan Negeri) dapat mempersiapkan Pulau Pinang supaya menjadi lebih berdaya tahan dalam mendepani bencana serta isu perubahan iklim pada masa akan datang,” ulasnya.

Terdahulu, Kon Yeow menyambut kepulangan 18 kakitangan MBSP yang menyertai misi bantuan pasca bencana banjir di Selangor yang telah menamatkan tugasan mereka hari ini.

Selepas itu, beliau turut meninjau pelaksanaan projek pengukuhan tembok penahan ombak sepanjang 570 meter dekat Jalan Tun Syed Sheh Barakbah di sini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD