DUN dan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri baharu, Kerajaan Negeri akan lakukan yang terbaik – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan berbincang dan melakukan yang terbaik berkenaan seruan Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas berhubung pembinaan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pusat pentadbiran baharu di bawah satu kompleks.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas ucapan perasmian Abdul Rahman pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Yang Keempat Belas di Dewan Sri Pinang di sini semalam.

“Kita akan bincang mencari penyelesaian terbaik untuk memenuhi permintaan Tun (Abdul Rahman)… bukan sahaja berkenaan DUN, malah pusat pentadbiran baharu.

“Perkara ini merupakan sesuatu yang mencabar juga kerana kita perlu cari tanah dan dana untuk memenuhi cadangan tersebut,” ujarnya pada sidang media sejurus Majlis Pelancaran Buku Visi Penang2030 dekat Gat Lebuh Gereja tengah hari tadi.

Hadir sama, Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang; barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus, Ahli-ahli DUN dan wakil-wakil pihak berkepentingan dari agensi kerajaan serta swasta.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, berhubung pembinaan bangunan DUN dan pusat pentadbiran, ianya bukanlah agenda baharu kerana perkara sama pernah disuarakan Abdul Rahman dalam ucapan Bajet tahun 2015.

“Perkara pernah dibangkitkan beberapa tahun lalu untuk dibangunkan di Bayan Mutiara, tetapi dengan pembangunan yang telah berlaku di sana sekarang, tiada lagi tanah sesuai di situ,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Kon Yeow dalam pada itu juga menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya sentiasa menyambut baik pendapat yang diberikan oleh Abdul Rahman dan menghormati pandangan beliau.

“Untuk masa ini, Komtar masih lagi kekal sebagai pusat pentadbiran bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD 

Video : ALISSALA THIAN