Pusat Tuisyen Rakyat KADUN Seri Delima lahirkan pelajar cemerlang peperiksaan

SERI DELIMA – Program Tuisyen Rakyat KADUN Seri Delima yang dilaksanakan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gelugor bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar yang mengikuti kelas tuisyen percuma itu, malah turut melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, inisiatif untuk mengadakan kelas tuisyen percuma itu diilhamkan sejak mantan ADUN yang kini Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer, lagi.

 

Bermula dengan mensasarkan kelompok pelajar tertentu, kini inisiatif itu mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima malahan dari KADUN Batu Lancang dan kawasan sekitar.

 

SYERLEENA Abdul Rashid (tengah) bersama-sama jawatankuasa yang menjayakan Pusat Tuisyen Rakyat KADUN Seri Delima.

“Buat masa ini, jumlah pelajar adalah seramai 60 orang yang berdaftar dan mereka mengikuti kelas mengikut peperiksaan iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

“Antara subjek yang diajar adalah bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang diadakan setiap hari Sabtu, Ahad dan Rabu.

 

“Saya juga ingin mengalu-alukan mana-mana ibu bapa yang berminat untuk menghantar mereka menyertai kelas tuisyen percuma ini bolehlah hubungi Haji Mohd. Hafiz (Abd. Aziz) selaku Pengerusi MPKK Bukit Gelugor di sini,” ujarnya pada sidang media sejurus Majlis Santai YB Syerleena Abdul Rashid Bersama-sama Penduduk Kuarters Polis dekat Taman Tun Sardon lewat petang semalam.

 

Hadir sama, Pengerusi Kompleks Perumahan Polis Taman Tun Sardon, Sarjan Amiruddin Abdul Manaf serta beberapa jawatankuasa dan ahli MPKK Bukit Gelugor.

 

Sementara itu, Mohd. Hafiz ketika ditemui memberitahu bahawa respons yang diterima daripada ibu bapa amat memberangsangkan.

 

POSTER promosi kelas tuisyen percuma.

“Ada dalam kalangan anak didik yang hadir ke tuisyen ini mendapat keputusan cemerlang dan mereka ini akan menerima insentif khas daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, YB Ramkarpal (Singh).

 

“Pihak kami (MPKK Bukit Gelugor) turut membuat penambahbaikan iaitu dengan mengenakan yuran komitmen sebanyak RM20 yang mana duit tersebut akan dipulangkan sekiranya pelajar hadir kesemua sesi kelas.

 

“Buat masa ini, pihak kami sememangnya ada menerima permintaan untuk menerima lebih ramai pelajar, namun keutamaan akan diberikan kepada penduduk di Seri Delima dahulu,” katanya yang melihat kelas tersebut dapat memberi pengalaman berharga kepada para pelajar.

 

Dijayakan dengan kerjasama Sunflower Home Tuition, kelas tuisyen percuma tersebut dijalankan di Dewan Serbaguna MPKK Bukit Gelugor dengan jumlah pelajar antara 15 – 20 pelajar dalam satu-satu sesi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADUN