DUN Pulau Pinang ‘panas’, usul kosongkan kerusi 4 ADUN dipersetujui majoriti

Admin

GEORGE TOWN – Usul bertajuk Pengisytiharan Kekosongan Empat Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang hari ini dipersetujui majoriti untuk diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini.

 

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika membentangkan usul tersebut berkata bahawa ia adalah selaras dengan subperaturan 31(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat DUN Pulau Pinang susulan kegagalan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan mengosongkan kerusi masing-masing di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

 

“Kerajaan Negeri menerusi Enakmen Perlembagaan Pulau Pinang (Pindaan) 2012 [A.13/2012] telah meminda Perlembagaan Pulau Pinang dengan memasukkan Perkara 14A yang menyentuh mengenai pertukaran parti politik seseorang ADUN.

 

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri ini telah dikuatkuasakan 8 Januari 2013 yang mana menetapkan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusi sekiranya telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau melepaskan, berhenti atau dilucutkan keahliannya dari sesebuah parti politik ataupun apabila beliau menyertai apa-apa parti politik lain.

 

“Dalam hal ini, apabila berlakunya pertukaran parti politik oleh seseorang ADUN, maka berdasarkan perenggan Perkara 14A(1)(a) Perlembagaan Negeri, ADUN tersebut hendaklah mengosongkan kerusinya.

 

“Seandainya seseorang ADUN tersebut enggan mengosongkan kerusinya maka keputusan mengenai perkara tersebut hendaklah diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui suatu usul berdasarkan Fasal 18(1) Perlembagaan Negeri kerana melibatkan ‘question of facts’ yang perlu dipadankan dengan pemakaian Perkara 14A Perlembagaan Negeri tersebut.

 

“(Dan) sekiranya Dewan ini bersetuju dengan usul ini, maka Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan Fasal 14A(4) hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa telah berlakunya kekosongan,” ujarnya pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini.

 

Menurut Ahmad Zakiyuddin, empat ADUN yang dimaksudkan ialah Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd.Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

 

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal memaklumkan bahawa usul tersebut dibangkitkan susulan status dua ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat keahlian pada Jun 2020 berikutan Langkah Sheraton yang menyebabkan kedua-dua ADUN tersebut bukan lagi ahli parti berkenaan.

 

“Manakala dua ADUN Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pula, fakta kedua-duanya menggunakan lambang PKR atas merit watikah pencalonan ketika itu adalah suatu amalan yang sudahpun diketahui umum dengan merujuk kepada Perenggan 11(1)(c) dan Perenggan 25F Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

 

Berdasarkan kedua-dua peruntukan tersebut adalah jelas dan selaras dengan kedudukan diambil dalam saman pemula yang mana affidavit kedua-dua ADUN Bersatu tersebut mengakui bahawa mereka bertanding di bawah logo PKR sebagai sebahagian daripada Pakatan Harapan.

 

“Malah, dalam affidavit kedua-dua ADUN Bersatu tersebut juga, mengakui telah menarik balik sokongan mereka terhadap Pakatan Harapan, maka kedua-dua ADUN berkenaan sewajarnya disifatkan sebagai melompat parti berdasarkan platform parti yang digunakan sebagai parti politik untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu,” jelasnya.

 

Sebagai rekod, Perenggan 11(1)(c) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 menetapkan bahawa bagi maksud subperaturan sesuatu parti politik boleh mengemukakan kepada SPR untuk meluluskan dan didaftarkan, jika diluluskan sedemikian, suatu simbol yang dalam subperaturan ini disebut ‘simbol parti’, bagi kegunaan calon dalam mana-mana pilihan raya.

 

Manakala, Perenggan 25F peraturan sama pula memperuntukkan bahawa selepas selesai penjumlahan rasmi dan pembuatan pengisytiharan di bawah subperaturan 25D(7) berkenaan dengan semua pilihan raya yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum bagi Dewan Rakyat atau sesuatu DUN, SPR boleh membuat pengisytiharan bahawa sesuatu parti politik yang telah menamakan calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum telah memenangi pilihan raya ke Dewan Rakyat atau DUN itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, jika parti politik itu telah memperoleh suatu majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang diperuntukkan bagi pemilihan ke Dewan Rakyat atau DUN itu.

 

Sementara itu, semasa perbahasan usul berkenaan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menunggu selama dua tahun setengah untuk membawa usul ini ke DUN.

CHOW Kon Yeow.

 

“Selama dua tahun setengah kita (Kerajaan Negeri) telah bersetuju untuk tidak membawa usul ini selagi proses perundangan tidak tamat, namun kini, keputusan mahkamah juga telah diperoleh.

 

 

“(Dan) sehingga pagi ini, Dewan tidak menerima apa-apa perintah walaupun permohonan (menangguhkan pembentangan usul) dibuat (oleh keempat-empat ADUN sebelum ini ditolak) yang mana memerlukan sekurang-kurangnya 14 hari jika ingin membawa usul demikian di Dewan ini.

 

“Malah, keputusan Mahkamah Tinggi itu juga menjadikan Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang sebagai suatu undang-undang yang sah dan sahih serta tidak melanggar apa-apa peruntukan,” ujarnya sambil menyangkal dakwaan bahawa wakil rakyat dari Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak sabar untuk menyingkir empat ADUN berkaitan.

 

ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo yang turut membahas usul berkenaan memberitahu bahawa pada 2 Mac lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan empat ADUN bagi mendapatkan injuksi untuk menghalang DUN Pulau Pinang daripada membentangkan usul berkaitan.

 

JAGDEEP Singh Deo.

Malah, Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama enam hakim Mahkamah Persekutuan lain juga telah memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri adalah tidak bertentangan dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

 

“Keputusan yang dibuat ini melibatkan pelbagai pihak berautoriti tinggi dan jelas bahawa Perkara 14A ini melarang seseorang wakil rakyat melompat parti kerana telah mengkhianati (kepercayaan) rakyat,” katanya yang menyokong penuh usul yang dibawa ke DUN Pulau Pinang pada hari ini.

 

Dalam pada itu, ADUN Pantai Jerejak, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan yang diambil oleh keempat-empat ADUN berkenaan telah melanggar prinsip dan kepercayaan bukan sahaja dalam kalangan ahli-ahli parti politik malahan juga rakyat.

 

“Membawa usul ini dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini untuk dibahaskan adalah mengikut landas undang-undang,” ulasnya.

 

Turut mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyokong usul dibentangkan ialah ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Pulau Tikus, Lee Chun Kit dan ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen.

 

Manakala, Khaliq Mehtab, Zulkifli, Dr. Afif, Zolkifly dan Mohd. Yusni Mat Piah (Penaga) tidak menyokong usul yang dibentangkan.

 

Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor (Sungai Dua) selaku Ketua Pembangkang pula mengambil tindakan berkecuali walau bagaimanapun menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju sekiranya berlaku tindakan melompat parti.

 

“Sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih, perlu menjaga mandat yang diberikan itu bukan sahaja atas parti yang bertanding tetapi juga rakyat yang memilih,” katanya.

SIDANG media yang diadakan di luar Dewan Undangan Negeri usai pembentangan usul pagi ini.

 

Susulan majoriti ADUN menerima usul yang dibentangkan, Yang Dipertua DUN, Dato’ Law Choo Kiang mengarahkan keempat-empat ADUN berkenaan meninggalkan Dewan.

 

Dalam perkembangan berasingan, keempat-empat ‘bekas’ ADUN berkenaan mengadakan sidang media yang turut disertai oleh para penyokong yang menunggu di luar DUN.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & SIEW CHIA EN