DURIAN varieti kampung keluaran Organic Shengfa Garden membuktikan keistimewaannya apabila dinobatkan sebagai Buah Durian Kampung Terbaik pada Pesta Durian Pulau Pinang 2026 yang berlangsung baru-baru ini.
Kejayaan tersebut menjadi kebanggaan buat Organic Shengfa Garden di Balik Pulau (berhampiran Tropical Fruit Farm), sekali gus membuktikan bahawa durian kampung yang dijaga dengan rapi masih mampu diangkat setanding varieti komersial yang lain.
Menurut pekerja Organic Shengfa Garden, QUAY CHEE LEONG, beliau telah berkecimpung dalam bidang penanaman durian sejak 28 tahun lalu dan kini menguruskan dusun milik keluarganya yang meliputi kira-kira 44 ekar di sekitar Balik Pulau.
“Kejayaan yang diraih merupakan penyertaan sulung kami dalam pertandingan ini selepas mengetahui mengenainya menerusi hebahan iklan dan kawan-kawan
“Kami amat bersyukur kerana terus diumumkan sebagai pemenang kategori durian kampung terbaik pada penyertaan pertama ini.
“Pengiktirafan ini akan menjadi suntikan semangat untuk kami terus menghasilkan durian yang berkualiti,” ujarnya ketika ditemubual wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, LAW SUUN TING.
Mengulas mengenai rahsia penghasilan durian berkualiti, Chee Leong memaklumkan bahawa mereka mengamalkan penggunaan baja organik yang dihasilkan sendiri menggunakan campuran kulit udang kering, ikan kering serta sisa buah-buahan yang diproses secara semula jadi.
“Selain itu, kami turut membina kolam di kawasan dusun bagi membantu mewujudkan ekosistem yang lebih seimbang untuk pertumbuhan pokok.

“Selain durian kampung, Organic Shengfa Garden kini menanam lebih 20 varieti termasuk Udang Merah, Hor Lor, Ang Hae, Musang King, D24, D13, D14 dan D12 atau lebih dikenali sebagai Tangkai Panjang yang masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemar buah ini.
“Pada masa sama, terdapat beberapa varieti eksklusif seperti Black Pink Spade dan Golden Hor Lor yang dijual pada harga antara RM100 hingga RM250 sekilogram bergantung kepada gred, namun varieti tersebut masih belum didaftarkan secara rasmi atas sebab-sebab tertentu,” jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai durian kampung diangkat dalam pertandingan itu, Chee Leong memaklumkan terdapat enam pokok yang menghasilkan buah berkenaan, dengan sebahagian pokok berusia melebihi 60 tahun.
“Pokok yang lebih tua lazimnya menghasilkan buah yang mempunyai rasa lebih kompleks dan aroma yang lebih kuat.
“Bagi kami, usia pokok memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti buah,” maklum beliau.

Jelas Chee Leong, tempoh matang buah juga berbeza mengikut varieti, dengan kebanyakan durian mengambil masa antara 90 hingga 100 hari sebelum gugur secara semula jadi.
Walau bagaimanapun, terdapat varieti tertentu seperti D604 yang hanya memerlukan kira-kira 84 hari, manakala Golden Hor Lor boleh mengambil masa sehingga 135 hari sebelum matang sepenuhnya.
Berat durian yang dihasilkan di dusunnya pula bermula sekitar 300 gram sehingga mencecah enam kilogram, namun kebanyakan buah berada dalam lingkungan satu hingga dua kilogram.
Mengenai cabaran memastikan hasil tanaman sentiasa terpelihara, kawasan dusun turut dipagar sepenuhnya dan ‘dijaga’ oleh kira-kira 20 ekor anjing, selain batang pokok dibalut dengan kepingan zink bagi menghalang gangguan tupai memanjat batang pokok durian.
Melihat kepada sambutan pasaran yang terus memberangsangkan, beliau berkata pihaknya merancang untuk memperluaskan penanaman durian serta menghantar lebih banyak penyertaan pada edisi Pesta Durian Pulau Pinang tahun hadapan.
“Permintaan terhadap durian Balik Pulau sentiasa tinggi.
“Kami berharap dapat mengembangkan lagi dusun dan membawa lebih banyak penyertaan pada tahun depan bagi mempromosikan keunikan durian tempatan,” katanya.