Dynamic Frank taja Penang FC RM100,000

Admin

GEORGE TOWN – Penang Football Club Sdn. Bhd. (Penang FC) menerima tajaan berjumlah RM100,000 daripada syarikat pencetakan dan pembuatan rangkaian plastik lokal, Dynamic Frank Group of Companies (Dynamic Frank), anak syarikat Frank Group of Companies.

 

Penyerahan cek cura (mock cheque) tajaan tersebut dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dynamic Frank, Goldan C.S. Beh kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sambil diiringi oleh Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam di Komtar pada 25 Ogos 2021.

 

Menurut Goldan, tajaan tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat terbabit yang turut menyokong pembangunan bola sepak Penang FC.

 

Tajaan ini merupakan pertama kali buat kami (Dynamic Frank) melibatkan segmen sukan.

 

“Hasil tajaan ini diharap dapat memberi manfaat kepada Penang FC,” jelasnya usai penyerahan tajaan di sini.

 

Barisan Ahli Lembaga Pengarah Penang FC iaitu Soon Lip Chee yang juga Exco Belia dan Sukan; Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari (Pegawai Kewangan Negeri); Dato’ Norazmi Mohd. Narawi (Pegawai Undang-undang Negeri); Dato’ Azhar Arshad (Timbalan Setiausaha Kerajaan, Pembangunan) dan S. Bharathi (Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri, CMI) antara yang turut serta menyaksikan penyerahan tajaan tersebut.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow ketika ditemui menzahirkan penghargaan kepada Dynamic Frank kerana turut bersama-sama menyokong pembangunan Penang FC dan menaja pasukan tersebut bagi musim ini.

 

“Saya percaya bagi pihak Penang FC, mereka amat mengalu-alukan sebarang bentuk tajaan sama ada daripada syarikat-syarikat lokal mahupun antarabangsa bagi membangunkan industri sukan tempatan.

 

“Sehingga kini, Penang FC telah menerima sejumlah RM1.8 juta tajaan dalam pelbagai bentuk bagi membantu pasukan Penang FC mendepani cabaran pandemik serta membantu pembangunan pasukan,” ujarnya.

 

Kon Yeow dengan itu berharap agar Penang FC dapat meneruskan momentum cemerlang dalam Liga Super musim ini.

 

“Saya yakin Penang FC akan terus mengekalkan KPI (petunjuk prestasi utama) dengan berada pada kedudukan enam terbaik (Top 6) sehingga tamat musim,” katanya.

 

Sebagai rekod, Penang FC kini berada di tangga ketiga carta Liga Super selepas aksi cemerlang menundukkan Sabah FC, 3-0 di tempat lawan. Saingan Liga Super akan diteruskan lagi dengan berbaki tiga lagi perlawanan iaitu dua di tempat sendiri (pada 29 Ogos dan 12 September) serta satu di tempat lawan pada 5 September ini.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD