SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri mengumumkan kenaikan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta pegawai masjid lantikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkuat kuasa mulai Oktober ini.
Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, elaun guru KAFA dinaikkan sebanyak RM200 sebulan, menjadikan kadar elaun guru KAFA RM1,700 berbanding RM1,500 sebelum ini.

“Manakala elaun ketua guru KAFA pula dinaikkan daripada RM1,600 kepada RM1,800 sebulan.
“Ini adalah hasil daripada kekukuhan kutipan zakat di Pulau Pinang.
“Pada 1 Julai 2025, saya telah menyatakan bahawa sekiranya berlaku pertambahan kutipan zakat, kita akan membuat pengumuman tambahan mengenai elaun guru KAFA pada tahun 2026.
“Jadi, kenaikan ini adalah antara bentuk penghargaan kepada guru-guru KAFA yang memainkan peranan penting dalam pendidikan agama anak-anak kita,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Guru KAFA dan Pegawai Masjid Pulau Pinang 2026 di Dewan Al-Ansar, Masjid Seberang Jaya, di sini, sebentar tadi.
Serentak dengan itu, kenaikan elaun turut melibatkan pegawai masjid lantikan MAINPP, membabitkan imam, bilal dan siak di masjid pengurusan serta masjid kariah.

“Bagi sembilan masjid pengurusan termasuk masjid negeri, masjid daerah dan masjid bandar raya, elaun imam dinaikkan sebanyak RM400 kepada RM1,000 sebulan, manakala elaun bilal dan siak dinaikkan RM300 kepada RM800.
“Untuk masjid kariah pula, elaun imam, bilal dan siak masing-masing dinaikkan RM100, menjadikan elaun imam RM950, manakala bilal dan siak RM600 sebulan,” jelas beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi.
Tambah Mohamad, semakan elaun berkenaan merupakan yang pertama dibuat sejak 2023, dengan keseluruhan tambahan komitmen kewangan bagi kenaikan elaun pegawai masjid berjumlah kira-kira RM1.761 juta.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, waktu kehadiran bertugas guru KAFA di seluruh Pulau Pinang turut diselaraskan kepada empat jam sehari.
“Pelaksanaan secara berperingkat akan bermula Oktober hingga Disember 2026 sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 2 Januari 2027.
“Penyelarasan ini bertujuan memastikan keselamatan murid terjamin, iaitu guru perlu berada di premis 30 minit sebelum kelas bermula dan 30 minit selepas kelas berakhir.
“Daripada tiga jam sebelum ini, kita tambah satu jam menjadikan keseluruhan waktu kehadiran bertugas empat jam,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan kenaikan tersebut melibatkan keseluruhan 1,650 guru KAFA, 468 imam, 448 bilal dan 448 siak di seluruh Pulau Pinang.
Ketika ditanya mengenai jumlah keseluruhan murid KAFA, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu, jumlah murid KAFA di Pulau Pinang kini menghampiri 62,000 orang berbanding kira-kira 92,000 murid sekolah kebangsaan secara keseluruhannya.
“Kita mungkin belum dapat memenuhi 100 peratus keperluan dari segi premis dan fasiliti, tetapi kita akan terus menyantuni keperluan masyarakat semaksimum yang mungkin,” katanya.