GEORGE TOWN – Pengukuhan ekosistem pelaburan Pulau Pinang dilihat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Langkah berkenaan sekurang-kurangnya mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, pencapaian gemilang ekonomi Pulau Pinang di peringkat antarabangsa adalah hasil kerja keras barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.
“Di samping pembudayaan sains dan teknologi, Kerajaan Negeri melalui Invest Penang Sdn. Bhd. (Invest Penang) memperkukuh ekosistem pelaburan negeri bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam telah menyampaikan berita gembira mengenai pencapaian gemilang ekonomi Pulau Pinang di peringkat antarabangsa.
“Ingin saya nyatakan di sini bahawa pencapaian yang disebutkan adalah hasil kerja keras barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menyediakan khidmat fasilitasi (facilitate) pelabur baharu.
“Malah menggalakkan syarikat multinasional memperluaskan penggunaan produk dan perkhidmatan tempatan melalui program ‘business matching’ yang membuka lebih banyak peluang kerjasama dan pertumbuhan kepada syarikat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.
Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menyatakan bahawa kerjasama strategik terus diperkukuh dengan pelbagai agensi berkaitan bagi menarik pelaburan baharu serta pengembangan pelaburan sedia ada lantas.
“Ini adalah bertujuan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan dan pelaburan yang masuk ke Pulau Pinang pasti mewujudkan peluang pekerjaan dan peningkatan taraf hidup rakyat.
“Berdasarkan statistik daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), seramai 1,016 pemohon MYFuture Jobs mendapat penempatan pekerjaan berbanding 1,152 permohonan bagi pemohon berusia 15 hingga 30 tahun di negeri ini untuk kelayakan diploma dan ke atas termasuk kategori berkemahiran tinggi.
“Statistik ini menunjukkan bahawa perkembangan dunia digitalisasi tidak memberi kesan ketara terhadap peluang pekerjaan kepada golongan belia di Pulau Pinang dan walaupun data itu agak menyenangkan, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia dengan pelbagai cabaran semasa dengan usaha yang berterusan dalam membina kemajuan yang inklusif,” ujarnya.
Beliau berkata, segala usaha dan inisiatif berkenaan perlu dipromosi dan disebar luas kepada seluruh rakyat Pulau Pinang supaya peluang ini dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: MOHAMMAD IQBAL HAMDAN