GEORGE TOWN: Sebanyak 136 sekolah di seluruh Pulau Pinang sudah dilengkapi dengan kemudahan MakerLab.
Menerusi Kluster Sains Pulau Pinang (PSC), inisiatif MakerLab dilaksanakan bagi memperkasa pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) secara praktikal yang mana ia turut mendapat sokongan padu sektor industri menerusi bimbingan mentor profesional kepada pelajar.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, program berkaitan menyediakan ruang inovasi di sekolah yang dilengkapi peralatan moden seperti pencetak tiga dimensi (3D) dan kit robotik.
“Tujuannya adalah untuk memupuk budaya reka cipta dan kemahiran penyelesaian masalah dalam kalangan generasi muda di negeri ini, dan kita (Kerajaan Negeri) juga berdiri di barisan hadapan dalam memupuk minat Pendidikan STEM di peringkat nasional.
“Ini adalah kerana Program Pembelajaran Kemahiran Teknikal (TSL) dalam kalangan pelajar menengah atas ini adalah yang pertama di negara ini dan di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Penang STEM turut melaksanakan inisiatif membina laluan kemahiran dalam bidang STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Melalui inisiatif TSL, program ini membabitkan pra-Akademi Dalam Industri (ADI) di peringkat menengah atas, pelajar tingkatan empat dan lima dan program ini adalah selama dua tahun yang mengintegrasikan silibus Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) serta pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menjelaskan bahawa program yang dilaksanakan berbeza dengan pendekatan TVET konvensional yang bermula selepas tamat persekolahan.
“Program yang bermula pada 2024 ini mengamalkan konsep ‘school-to-industry pipeline’, yang mana pelajar didedahkan lebih awal kepada latihan berasaskan industri melalui pembelajaran secara ‘hands-on’.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran pelajar, malah memberi peluang kepada pelajar golongan B40 untuk memperoleh pendapatan melalui model ‘work-study’.
“Selepas menamatkan program TSL selama dua tahun, pelajar akan meneruskan laluan ke program Akademi Dalam Industri (ADI) dan diserapkan dalam dunia pekerjaan dengan jalinan kerjasama dengan syarikat teknologi,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam tempoh berkenaan, pelajar lepasan program TSL akan menjalani latihan sebagai perantis, menerima elaun dan pada masa sama mengikuti pengajian bagi memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
“Salah satu pusat pengajian yang disediakan adalah Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC) yang menyediakan program latihan industri dan ‘apprenticeship’ yang memberi peluang kepada pelajar untuk belajar sambil bekerja.
“Ini memberi peluang kepada graduan untuk membina kerjaya yang stabil dan berkembang dan kesemua inisatif itu membuktikan bahawa ekosistem pembangunan modal insan terutama dalam bidang sains dan teknologi disokong kuat dari pelbagai sudut bermula dari peringkat akar umbi sehingga ke alam pekerjaan,” jelasnya.
Oleh : MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar : MOHAMMAD IQBAL HAMDAN