Elak bazir makanan kurang ganggu ekosistem – KM

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


GEORGE TOWN– Kerajaan Negeri menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang supaya mengelakkan budaya pembaziran makanan bagi menjamin kualiti hidup lebih sempurna dan kelestarian alam sekitar yang baik.

Hal ini disuarakan sendiri Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang bertemakan ‘Think.Eat.Save’ di Lebuh Pantai di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, rakyat Malaysia secara purata membuang makanan seberat 930 tan sehari atau bersamaan 93,000 kampit beras seberat 10 kilogram.

“Pembaziran makanan meningkat dua kali ganda dalam tiga tahun kebelakangan ini. Ini belum lagi dimasukkan jumlah makanan yang ditinggalkan begitu sahaja.

“Semenanjung Malaysia sahaja telah menghasilkan sebanyak 25,000 tan metrik sisa pepejal sehari di mana 48 peratus darinya adalah bahan-bahan makanan.

“Menurut sumber Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), pada tahun lepas, sebanyak 45 peratus dari 288,377 tan sisa pepejal (bahagian pulau sahaja) adalah berpunca daripada bahan makanan yang dipungut di kawasan penduduk dan tempat komersial,” ujarnya pada ucapan Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Bersempena penganjuran yang berjaya menarik penyertaan 1,000 peserta tersebut, pameran kempen elakkan pembaziran dan kesannya kepada ekosistem serta sumber air turut diadakan pihak penganjur, Penang Green Council (PGC).

Turut diadakan, pertunjukkan pancaragam sekolah, gendang harmoni pelbagai kaum dan jualan cenderahati bagi mempromosikan konsep hijau.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.