NEPCON Malaysia platform E&E

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


BAYAN BARU – Pameran Industri Elektronik dan Elektrik (E&E), NEPCON Malaysia 2013 yang berlangsung selama tiga hari di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) baru-baru ini memberi pengalaman baru kepada banyak syarikat yang mengambil bahagian di sini.

Selain syarikat tempatan, terdapat lebih 70 peratus penyertaan adalah dari luar negara termasuk China, Jepun, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan.

Pengarah Urusan NEPCON Malaysia 2013, Michelle Lim berkata, walaupun mengalami kesan kelembapan ekonomi global, namun, NEPCON Malaysia terus menjadi rakan kongsi utama untuk industri E&E.

“Terdapat lebih 50 syarikat-syarikat baru menyertai pameran pada tahun ini (2013) dengan mengambil kesempatan untuk melancar dan memperkenalkan produk baru masing-masing kepada pasaran serta pengunjung yang hadir.

“Selain usaha Kerajaan Negeri menarik pelaburan dalam menyokong industri ini, pemilihan lokasi di sini adalah ekoran negeri ini telah lama diiktiraf sebagai ‘Pulau Silikon di daerah Timur’,”ujarnya pada Majlis Pelancaran Pameran NEPCON Malaysia 2013 baru-baru ini di sini.

Hadir menyempurnakan majlis pelancaran tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, Direktor Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Azhana Mohamed Salleh, Pengurus Besar SIRIM Berhad, Abdul Basid Ramli dan Pengurus Besar investPenang (iP), Loo Lee Lian.

Selain pameran, turut diadakan buat julung kali adalah pertandingan IPC Hand Soldering yang mana juara bakal mewakili syarikat atau negara masingmasing pada Kejohanan Dunia di Las Vegas tahun depan (2014).

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, NEPCON Malaysia telah membina reputasi baik dalam kalangan industri R&E sebagai platform paling berkesan untuk pembekal antarabangsa serta tempatan melancarkan produk dan  perkhidmatan masing-masing kepadapembeli tempatan mahupun serantau.