Elaun khas kepada Pekerja Am 3D & penguatkuasa PBT

Admin

 

 SEBAHAGIAN anggota penguatkuasa dan pekerja am pasukan 3D MPPP yang hadir pada Majlis Penyampaian Elaun Khas RM150 Sebulan Kepada Kumpulan Kerja MPPP dan MPSP baru-baru ini.
SEBAHAGIAN anggota penguatkuasa dan pekerja am pasukan 3D MPPP yang hadir pada Majlis Penyampaian Elaun Khas RM150 Sebulan Kepada Kumpulan Kerja MPPP dan MPSP baru-baru ini.

 

 

GEORGE TOWN – Sebagai tanda galakan serta sokongan kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya dapat bekerja dengan lebih gigih, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) telah bersetuju menyumbangkan bantuan kewangan berupa elaun khas sebanyak RM150 sebulan kepada kumpulan kerja berkenaan.

Bersempena dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, seramai 238 anggota penguatkuasa dan 178 pekerja awam pasukan 3D (dirty, dangerous, difficult) Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan 186 anggota penguatkuasa dan 52 anggota pasukan 3D Majlis Perbandaran seberang Perai (MPSP) telah menerima sumbangan elaun khas ini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, pemberian elaun khas tersebut adalah sebagai tanda galakan serta sokongan kepada kakitangan PBT supaya dapat bekerja dengan lebih gigih lagi terutamanya dalam kerja-kerja penguatkuasaan yang mempunyai risiko yang tinggi. Begitu juga dengan kerja-kerja Pasukan 3D yang telah banyak membantu meningkatkan imej PBT dan juga Kerajaan Negeri.

Semangat kekitaan dan semangat berpasukan perlu diterapkan dalam diri semua warga PBT. Ini akan meyakinkan orang awam mematuhi undang-undang baik dalam menjaga kebersihan supaya tidak membuang sampah merata-rata, memandu dengan bersopan agar tidak menghalang lalulintas serta menjadi mata dan telinga agar menghindari jenayah.

Dengan ini, barulah Pulau Pinang boleh menjadi negeri yang lebih bersih, hijau dan selamat,” kata beliau semasa merasmikan Majlis Pemberian Elaun Khas Kepada Anggota Penguatkuasaan dan Pasukan 3D, baru-baru ini.

Di samping itu, Guan Eng juga berharap agar pencapaian ini dapat dijadikan perangsang untuk membakar semangat bagi terus berusaha menjadikan inovasi dan kreativiti sebagai budaya perkhidmatan di MPPP dan MPSP.