Diarah kosongkan premis: Permohonan ADUN Penaga ditolak

Admin
PUSAT Komuniti KADUN Penaga.
PUSAT Komuniti KADUN Penaga.

 

PENAGA – Permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Penaga, Datuk Azhar Ibrahim untuk membatalkan arahan Kerajaan Negeri supaya beliau mengosongkan premis Pusat Komuniti ADUN yang diwakilinya ditolak oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Hakim Datuk Rohana Yusuf membuat keputusan itu setelah mendapati Azhar selaku pemohon tiada locus standi membuat permohonan tersebut.

Arahan untuk mengosongkan pusat komuniti tersebut didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada 8 November 2010.

Ketua Pembangkang Pulau Pinang itu memfailkan permohonan semakan kehakiman berkenaan pada 19 November 2010 bagi memohon perisytiharan bahawa arahan yang dikeluarkan oleh pejabat daerah tersebut sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.

 

Ekoran itu, Azhar menyifatkan bahawa tindakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang mengarahkan premis Pusat Komuniti Anggota DUN Penaga dikosongkan, sebagai tindakan rakus dan merugikan rakyat.

 

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubung UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sepatutnya membina sendiri kemudahan untuk rakyat seperti dewan atau pusat komuniti kerana mempunyai lebihan perolehan yang besar setiap tahun.

 

Namun, sekiranya Kerajaan Negeri PR membina sendiri dewan dan pusat komuniti, apa pula yang akan terjadi kepada dewan dan pusat komuniti yang sedia ada? Hendak dibiarkan kosong begitu saja atau akan digunakan oleh UMNO sebagai harta mereka untuk dijadikan stor bagi menyimpan bendera mereka sepertimana dengan apa yang terjadi kepada banyak dewan sedia ada?

Kenapa UMNO masih rakus mahu menguasai dewan atau pusat komuniti yang ada sedangkan mereka tidak berhak sama sekali ke atas dewan atau pusat komuniti tersebut biarpun ianya dibina oleh Kerajaan Pusat kerana ianya bukanlah dibina menggunakan wang UMNO sendiri?