Elaun Sara Hidup nelayan akan disalurkan mulai Januari depan, jumlah pemberian masih di peringkat perbincangan – Muhammad Faiz

Admin

BATU MAUNG – Pemberian Elaun Sara Hidup (ESH) kepada golongan nelayan akan diteruskan sepertimana jaminan yang diberikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani baru-baru ini, ujar Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Walau bagaimanapun, menurut Muhammad Faiz jumlah pemberian ESH tersebut masih di peringkat rundingan bersama Kementerian Kewangan dan ia belum dimuktamadkan.

Secara prinsipnya ESH ini memang akan diteruskan dan akan mula disalurkan bermula Januari tahun hadapan.

Jumlah bayaran masih belum dimuktamadkan kerana masih di dalam peringkat rundingan supaya jumlah pemberian ini adalah munasabah bagi kedua-dua pihak (nelayan dan Kerajaan Persekutuan).

Dasarnya, kita (LKIM) mencadangkan agar jumlah tersebut dikekalkan, tetapi saya percaya jika jumlah itu tidak dapat dikekalkan, pengurangan itu tidaklah akan memberi kesan ketara kepada golongan nelayan,” ujarnya pada sesi sidang media selepas mengadakan interaksi bersama-sama golongan nelayan dan LKIM di Restoran Pan Mutiara, Pelabuhan LKIM Batu Maung di sini pagi ini.

Pemberian ESH kepada golongan nelayan berjumlah RM300 sudah bermula sejak Jun 2008, bertujuan meringankan bebanan kos sara hidup nelayan.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, pihaknya menjangkakan hanya kira-kira 41,000 nelayan seluruh negara akan menerima manfaat ESH tersebut berbanding 57,000 nelayan sebelum proses pemutihan dijalankan.

Selepas mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Jun lalu kita telah diarahkan untuk membuat pemutihan ke atas nelayan.

Kita telah menilai semula mereka yang merupakan nelayan tulen mengikut akta sahaja yang layak menerima elaun ini iaitu nelayan yang turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun,” ujarnya kepada pemberita.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad, wakil-wakil LKIM dan nelayan.

Pada sesi interaksi yang berlangsung hampir empat jam tersebut, pelbagai masalah, kekangan dan perkara disuarakan golongan berkaitan agar mendapat pertimbangan sewajarnya dari pihak berwajib.

Menurut Muhammad Faiz, antara yang menjadi kegundahan ialah pemilikan tanah di beberapa pelabuhan dan jeti yang dipunyai Kerajaan Negeri.

Kebanyakan pelabuhan di Pulau Pinang diuruskan operasinya oleh LKIM, tetapi pemilikan tanah ini masih dipegang Kerajaan Negeri. Ini menimbulkan masalah kepada pihak pengurusan untuk menambah baik infrastruktur dan sebagainya kerana pemilik tanah mempunyai hak ke atas apa sahaja pembangunan di atas tanah miliknya.

InsyaAllah saya akan membawa perkara ini kepada pihak berkaitan untuk Kerajaan Negeri menilai dan mempertimbangkan semula permohonan LKIM untuk diserahkan semua tanah-tanah ini.

Manakala, berhubung beberapa projek pembangunan seperti Penang Transport Master Plan yang menjadi kebimbangan dan  mengancam populasi tangkapan ikan, kita akan cuba bincang apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk pastikan nelayan terbela dan industri perikanan tidak terjejas,” ujarnya lanjut.