Elok Dr. Halimah syor usaha tingkatkan kualiti hidup autisme, nasihat ADUN Pulau Tikus

CHRIS Lee Chun Kit menunjukkan koleksi keratan akhbar mengenai bakat seni adik perempuannya, semasa sidang media di Pusat Khidmat ADUN Pulau Tikus di sini menjelang tengah hari tadi.

PULAU TIKUS – Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali yang mengaitkan Menu Rahmah dengan risiko kesihatan seperti autisme, sepatutnya tidak memberikan pemahaman yang salah kepada masyarakat berhubung kelompok Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit berkata Dr. Halimah sebagai doktor perubatan serta wakil rakyat pembangkang Parlimen Malaysia sewajarnya mencadangkan dasar-dasar bagi meningkatkan lagi kemampuan serta kualiti hidup rakyat dalam kelompok autisme.

Beliau terpanggil untuk mengadakan sidang media di Pusat Khidmat ADUN Pulau Tikus dekat Medan Maktab pada pagi ini (21 Februari 2022) kerana satu-satunya adik perempuan beliau yang kini berusia 39 tahun, adalah seorang OKU kategori autisme.

“Adik perempuan saya pernah jadi popular pada tahun 1990-an kerana kemampuannya dalam bidang seni lukis serta pernah mendapat liputan akhbar dan masuk dalam program televisyen semasa itu.

“Hal ini menunjukkan bahawa individu autisme sebenarnya boleh menjadi seorang wanita yang hebat sekiranya kita berusaha membantu mereka meningkatkan keupayaan serta kemahiran ke arah kualiti hidup yang lebih baik.

“Justeru, saya ingin meminta Ahli Parlimen Kapar mencadangkan penyelesaian untuk kebajikan golongan OKU berkenaan, dan bukannya membuat kenyataan tanpa asas di sebalik kekurangan yang ada pada kelompok terbabit,” sarannya dalam nada sederhana.

Di samping itu, Chun Kit menjelaskan bahawa autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) merupakan satu bentuk kekurangan keupayaan dari aspek neurologi yang mengakibatkan masalah dari segi perkembangan bahasa, tingkah laku serta pertuturan yang melibatkan kanak-kanak dan bukannya penyakit fizikal.

Jelasnya lagi, autisme boleh dikenal pasti pada tahap awal pembesaran kanak-kanak bermula usia satu hingga tiga tahun dan mula ketara apabila umurnya meningkat 6 tahun.

Antara faktor penyebab pada austisme ialah ciri-ciri genetik, sejarah keluarga, usia dan keadaan fizikal ibu semasa mengandung, jarak antara kandungan serta keadaan ketika hamil dan kelahiran bayi.

Buletin Mutiara difahamkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan satu daripada 100 kanak-kanak di seluruh dunia menghidap autisme, manakala berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hingga 30 Jun 2022, seramai 36,601 individu di negara ini disahkan mempunyai autisme termasuk 24,748 di bawah umur 12 tahun.

Terdahulu, merujuk hansard Parlimen Selasa lepas, Dr. Halimah dilaporkan berbahas dengan menyentuh tentang keselamatan makanan dan kesihatan semasa ucapannya berkata, golongan miskin tidak seharusnya diberi makanan berkualiti rendah.

“Saya tidak ada masalah dengan ungkapan ‘rahmah’, tetapi jangan berikan makanan berkualiti rendah B40 yang boleh menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, penyakit autoimun, autisme dan sebagainya,” katanya.

Kenyataannya itu mengundang pertikaman lidah di Dewan Rakyat, hatta ada desakan untuk merujuk wakil rakyat berkenaan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk tindakan selanjutnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI