MBSP wujud garis panduan pelaksanaan Kebun Komuniti Bandar

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mewujudkan garis panduan bagi pelaksanaan Kebun Komuniti Bandar sebagai menyokong pembangunan ekonomi tempatan selain memupuk integrasi sosial dalam kalangan masyarakat.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad antara syarat yang terkandung dalam garis panduan tersebut adalah termasuk aktiviti kebun bandar perlu dijalankan secara berkumpulan dengan minimum peserta seramai 10 orang.

“Penglibatan masyarakat setempat adalah secara sukarela dan mempunyai ketua kumpulan (local champion).

“Namun, sekiranya ada penglibatan dari mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelaksanaan aktiviti ini perlulah mendapat persetujuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan ia akan menjadi tanggungjawab bersama antara kedua-dua pihak,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP dekat Menara Bandaraya, di sini sebentar tadi.

Tambah Azhar, Kebun Komuniti Bandar pula haruslah bersifat sementara dengan tempoh yang dibenarkan adalah selama dua tahun sahaja.

“Pihak pemohon adalah dikehendaki memperbaharui semula permohonan setelah tempoh tersebut tamat sekiranya pemohon masih berminat untuk meneruskan aktiviti tersebut.

“Adalah ditegaskan bahawa penyerahan hak guna kepada mana-mana individua tau pihak ketuga adalah tidak dibenarkan,” katanya sambil menambah bahawa risalah panduan bagi permohonan kebun komuniti bandar turut disediakan bagi kemudahan warga Seberang Perai.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ENG KOK WEI