‘Emas’ untuk Pelajar & Anak Emas

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Seramai 430 pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 yang mendaftar di bawah Program Pelajar Emas di sini diraikan dengan penerimaan sumbangan RM100 daripada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) dalam tiga majlis berasingan yang diadakan serentak baru-baru ini.
Pecahan bagi jumlah tersebut adalah seramai 250 pelajar dari Daerah Timur Laut, Daerah Seberang Perai Selatan (80) dan Seberang Perai Tengah (100). Angka tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan 36,907 pelajar yang telah mendaftar sehingga kini.

Bagi Program Anak Emas, seramai 370 bayi daripada jumlah keseluruhan 4,711 yang mendaftar menerima sumbangan dalam tiga majlis simbolik peringkat daerah masing-masing di sini.

Bagi Amirah Ahmat  Makbol, 16, pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong bersyukur dengan pemberian RM100 yang diterimanya.

“Alhamdullilah, dengan sumbangan tersebut, saya akan gunakannya dengan sebaik mungkin untuk tujuan pembiayaan sekolah kelak,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara bersama ibunya pada majlis penyampaian Program Pelajar Emas dan Anak Emas Peringkat Daerah Timur Laut di sini baru-baru ini.

Program Pelajar Emas merupakan salah satu program kebajikan Kerajaan Negeri PR bertujuan meringankan beban golongan ibu yang memiliki anak-anak yang bersekolah pada Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 di sini dan juga sekolah-sekolah di sempadan negeri Pulau Pinang (mengikut syarat yang ditetapkan). Melalui program tersebut, setiap pelajar bakal menerima RM100 daripada Kerajaan Negeri.

Di bawah Program Anak Emas, semua bayi yang dilahirkan bermula tahun 2011 adalah layak mendapat RM200.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Persekutuan (P) Tanjong Bunga, Gan Zhi Zhen, 16, beliau berharap agar Kerajaan Negeri meneruskan usaha baik menyalurkan sumbangan kepada rakyat Pulau Pinang.

Ibu kepada anak kembar Tahun 4 Sekolah Kebangsaan Convent Lebuh Light yang hanya ingin dikenali sebagai Puspa, 34, menyifatkan sumbangan diterima adalah amat bermakna.

“Walaupuan hanya RM100, tetapi, ia amat bermakna kepada saya terutamanya bagi menampung serba sedikit perbelanjaan kelengkapan sekolah dua anak kembar saya, Malina dan Malini,’’ ujarnya yang merupakan seorang suri rumah.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang turun padang menyempurnakan ketiga-tiga majlis penyampaian tersebut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri mestilah mempunyai ‘emas’ (keuntungan) untuk diberikan kepada Pelajar Emas, Anak Emas dan bantuan kebajikan rakyat yang lain.

“Kita hanya boleh bagi ‘emas’ (sumbangan) bila Kerajaan Negeri juga mempunyai ‘emas’ (keuntungan). Kita berbangga apabila mencatat keuntungan sepanjang empat tahun berturut-turut ketika memerintah Pulau Pinang,’’ tegasnya.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Exco Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik dan ADUN Tanjong Bunga, Teh Yee Cheu.

 

 

 

AMIRAH Ahmat Makbol.
AMIRAH Ahmat Makbol.