Serambi Penang Institute : Melayu mampu mandiri!

PADA 8 September yang lalu, satu forum yang amat penting telah dianjurkan di bawah kelelolaan Penang Institute. Dalam wacana yang bersejarah ini, nasib bangsa Melayu Pulau Pinang telah dibincangkan secara tuntas, profesional dan terperinci. Forum Nusantara ke-6 yang berkisar dalam lingkungan tajuk “55 Tahun Merdeka: Ke Mana Arah Melayu Pulau Pinang” telah menyatukan semua pandangan dan saranan daripada parti-parti politik, NGO, akademia dan juga pemimpin masyarakat.

Demi mewujudkan suatu pentas cakna minda yang aktif dan berkesan, wakil daripada PAS, PKR, DAP & hatta UMNO juga telah dipanggil
untuk tampil menyatakan pendapat. Secara adil barisan panelis terdiri daripada, Y.B. Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar (PAS), Y.B. Senator Prof. Madya Ariffin Omar, Senator Dewan Negara dan juga Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (DAP), Y.B. Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia (PKR) dan wakil daripada UMNO, Dato’ Raja Munir Shah, yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjong. Untuk memastikan perbincangan neutral dan profesional, Prof. Madya Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pensyarah dari Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM telah diminta untuk menjadi moderator.

Perbincang tentang suatu tajuk yang dikira panas sepanjang zaman ini, sudah tentulah tidak lari daripada perbezaan pendapat dan saling menyatakan hujah terbaik dari golongan masing-masing dalam respon kepada permasalahan Melayu Pulau Pinang. Forum
dimulakan dengan ungkapan atau premis utama panelis seperti berikut;

Y.B. Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa

-Memulakan hujah dengan menyatakan jaminan, hak-hak Melayu akan terjamin di dalam perlembagaan Malaysia, jika Pakatan Rakyat diberi kepercayaan memerintah negara ini. Ini terbukti dengan kejayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan dasar- dasar memajukan Islam di Pulau Pinang seperti penambahan dana pembangunan umat Islam, penyelesaian isu tanah kubur, pendidikan Sekolah Agama Rakyat dan pengukuhan institusi zakat di negeri ini. Beliau meminta agar UMNO tidak menghalang kerja baik ini dengan menghasut rakyat, dan menafikan kemampuan kerajaan PR yang baru berusia 4 tahun berbanding UMNO yang telah memerintah lebih 50 tahun.

Dato’ Raja Munir Shah

-Selaku wakil tunggal BN di dalam forum, sudah pasti pendekatan defensif digunakan dalam menafikan kegagalan UMNO selama lebih
separuh abad dalam mengubah nasib bangsa Melayu. Hujah beliau yang sentiasa berkisar pada premis ‘kenang budi’ dan seruan untuk mengekalkan ‘keamanan dan perpaduan’ menjadi modal utama dalam meyakinkan audiens. Sumbangan kerajaan seperti BR1M, dan pelbagai jenama 1Malaysia yang dipromosikan oleh UMNO-BN juga ditekankan oleh Raja Munir. Menurutnya lagi, nasib Melayu dan Malaysia yang stabil ‘hanyalah dengan bersama UMNO sahaja’ telah menggamatkan suasana dewan.

Y.B. Senator Prof. Madya Ariffin Omar

-Selaku wakil Melayu daripada DAP, sudah tentu pasti pandangannya unik. Beliau menegaskan betapa bangsa Melayu itu sebenarnya mampu berdikari tanpa berpaut dengan kabel parti-parti politik, sepertimana yang telah dimomokkan oleh UMNO sekian lama. Prof. Ariffin juga menyatakan kini, pelbagai pakar Melayu telah berada di pelbagai bidang tanpa berpaut dengan tongkat UMNO. Beliau merujuk kepada kejayaan dan sifat mandiri bangsa Melayu itu sebelum kewujudan UMNO lagi. Hujah akhir beliau ditutup rapi dengan saranan dari Shaikh Naqib Arsalan yang menyatakan sebab utama umat Islam mundur adalah kerana ”kepimpinan yang tidak ikhlas, telus dan jujur”.

Y.B. Nik Nazmi Nik Ahmad


-Pandangan YB Nik Nazmi dari PKR pula bersifat lebih universal dengan seruan agar Melayu keluar dari kepompong ‘mentaliti terkepung’ yang sekian lama membelenggu. Permasalahan yang membelit bangsa Melayu harus dilihat rentas melebihi batas kaum itu sahaja. Label pemalas yang ditanam penjajah British harus dibuang jauh-jauh untuk bersaing dengan bangsa lain. Anjakan paradigma
perlu, khusus dalam pendidikan, demi membijakkan umat Melayu. Sudah tiba masanya Melayu keluar dari kelompok inferioriti kompleks yang terbentuk selama 5 dekad dan bergerak ke arah wacana baru yang segar bersama Pakatan Rakyat!

KESIMPULAN : Melayu Memang Mampu Mandiri!

Sebagai penutup, seorang ilmuwan tersohor, Dr. Siddiq Fadhil pernah menyebut akan kisah dalam filem Melayu P.Ramlee yang berani
melawan bosnya menerusi cerita Bujang Lapok, di mana dalam mimpi pemuda lakonannya itu, dia memarahi dan mengarah-ngarah bosnya untuk melakukan kemahuannya.

Nah, itu pada zaman cerita klasik P.Ramlee, yang menunjukkan orang Melayu masih berani ‘mimpi’ melawan penindasnya. Tapi kini, tak perlu bicara tentang mimpi, namun untuk mimpi sekali pun orang Melayu kini sangat takut!

Segala hujah, defensif mahu pun provokatif sepanjang forum itu telah sedikit sebanyak berjaya menyinggung cara fikir Melayu yang selama ini terbendung dengan mimpi ngeri dan ketakutan yang dibuat-buat.

Secara konklusi, bangsa Melayu itu sememangnya bangsa yang hebat, bangsa yang mampu bertahan, bukan sekadar retorik Hang Tuah ‘takkan Melayu hilang di dunia’ bahkan lebih daripada itu, menjadi sebuah bangsa yang mandiri, berdiri di atas kaki sendiri!

SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Eksekutif Komunikasi & Program
Penang Institute