GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM12.3 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk melaksanakan Projek Rintis Bakat STEM Pulau Pinang yang menyasarkan penyertaan lebih 100,000 pelajar menerusi empat program utama.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, inisiatif tersebut merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pembangunan bakat serta meningkatkan minat generasi muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menurut beliau, penyertaan pelajar dalam bidang STEM dari 2023 hingga 2025 telah mencecah 303,491 orang menerusi jaringan Penang Science Cluster, Tech Dome Penang dan Penang STEM.
“Projek rintis yang dilancarkan pada 10 Ogos lalu di Tech Dome Penang itu merangkumi empat program utama dengan sasaran serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas.
“Antaranya, program IGNITE oleh Tech Dome Penang yang menyasarkan penyertaan 20,000 pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam, manakala IGNITE: MathQuest oleh Penang Math Platform pula menyasarkan 7,360 pelajar bagi meningkatkan pencapaian Matematik,” katanya ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini hari ini.
Jagdeep yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi memaklumkan bahawa dua lagi program adalah EMBED: AI-On-Wheels oleh Penang Science Cluster yang menyasarkan 80,000 pelajar Tingkatan Satu serta EMBED: Technical Skill Learning oleh Penang STEM Sdn. Bhd. yang melibatkan 4,000 pelajar menengah atas.
Dalam perkembangan sama, Jagdeep memberitahu bahawa seramai 226 pelajar diraikan menerusi Majlis Apresiasi dan Pengiktirafan Pelajar Technical Skill Learning (TSL) pada 26 September lalu selepas berjaya menamatkan program berkenaan.
“Kesemua pelajar tersebut memenuhi syarat kehadiran sekurang-kurangnya 80 peratus sepanjang dua tahun mengikuti program berkenaan.
“Pada Januari tahun hadapan, satu majlis khas akan dianjurkan bagi meraikan peralihan graduan TSL ke alam industri serta penempatan mereka di syarikat berkaitan,” ujarnya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat itu turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui Tech Dome Penang merancang pelaksanaan beberapa program pada 2027, termasuk STEM Showcase, AI Horizon dan Robomania yang dijangka memberi manfaat secara langsung kepada sehingga 50,000 pelajar.
“Bagi memperkukuh kemahiran insaniah dan akademik, program APEX Bootcamp yang melibatkan 400 pelajar daripada 41 sekolah menengah di Pulau Pinang pada tahun ini juga menyasarkan penyertaan antara 350 hingga 400 pelajar pada 2027.
“Selain itu, Penang Open Scrabble Tournament yang menghimpunkan 561 peserta sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara pada tahun ini akan dinaik taraf kepada Malaysia International Youth Wordmaster Championship tahun hadapan dengan sasaran 800 peserta, termasuk penyertaan antarabangsa.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan terus menyokong penganjuran Penang International Science Fair (PISF) anjuran Penang Science Cluster yang menyasarkan sehingga 60,000 peserta pada 2027 sebagai platform untuk memupuk minat generasi muda dalam bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya lagi.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS