Kerajaan Negeri peruntuk RM8.2 juta perkasa pembangunan luar bandar

img 20261105 wa0038

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meningkatkan peruntukan Program Pembangunan Ekonomi Negeri (PKE) bagi tahun 2026 daripada RM6.8 juta kepada RM8.2 juta dalam usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur serta meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol berkata, pembangunan luar bandar bukan sekadar melibatkan pembinaan jalan, dewan atau penyediaan kemudahan asas, sebaliknya merangkumi usaha memastikan penduduk menikmati kemudahan, peluang ekonomi dan kualiti hidup setara dengan masyarakat bandar.

Menurutnya, peningkatan peruntukan PKE itu membolehkan pelaksanaan pelbagai projek dan bantuan melibatkan lima daerah di negeri ini.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pembinaan dan pembaikan rumah, bantuan peralatan, penyediaan gerai, pembangunan modal insan serta pembinaan dan penambahbaikan jalan kampung, longkang dan dewan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Rashidi berkata, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memperkukuh kemudahan infrastruktur luar bandar menerusi pelaksanaan projek Jalan Perhubungan Desa (JPD), Program Ameniti Sosial (PAMS) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Katanya, sebanyak 53 projek dikenal pasti di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) RP1 bagi tahun 2026, membabitkan peruntukan keseluruhan RM66.27 juta.

“Sehingga 3 November 2026, sebanyak 51 projek infrastruktur luar bandar bernilai RM4.54 juta telah dilaksanakan di bawah komponen JPD, PAMS dan BALB,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh.

Selain pembangunan infrastruktur, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada keperluan kediaman golongan memerlukan menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang menyediakan peruntukan RM5 juta bagi pembinaan rumah baharu dan kerja-kerja baik pulih.

Rashidi berkata, sehingga Ogos 2026, sebanyak 12 permohonan pembinaan rumah baharu bernilai RM948,000 telah diluluskan, manakala 69 rumah turut mendapat kelulusan kerja-kerja baik pulih membabitkan peruntukan RM1.38 juta.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan luar bandar perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya diukur berdasarkan jumlah projek berskala besar, sebaliknya turut mengambil kira perubahan yang dirasai secara langsung oleh penduduk.

“Ini membuktikan bahawa pembangunan luar bandar bukan hanya tertumpu kepada projek berskala besar, tetapi turut merangkumi usaha memperbaiki kehidupan harian keluarga dan komuniti yang memerlukan,” katanya.

Menjawab soalan ADUN Seberang Jaya, Izhar Shah Dato’ Arif Shah berhubung pembangunan semula Tapak Ekspo Seberang Jaya, Rashidi memaklumakan bahawa pembangunan semula tapak tersebut bakal menyaksikan penyediaan sebuah bangunan bertingkat di atas tapak seluas tiga ekar yang dikenali sebagai Dataran Usahawan bagi memastikan kebajikan peniaga sedia ada terus terbela.

Menerusi pembangunan tersebut, beliau menjelaskan bahawa kemudahan ruang perniagaan lebih kondusif turut disediakan kepada peniaga yang terkesan, selain membuka peluang kepada usahawan baharu untuk menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan.

“Perkara itu merupakan antara syarat yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli (SPA) pembangunan tapak berkenaan bagi memastikan kepentingan peniaga setempat tidak terpinggir dalam proses pembangunan semula.

“Setelah siap dibangunkan, bangunan Dataran Usahawan itu akan dimiliki, diuruskan dan diselenggara sepenuhnya oleh pihak pembeli,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rashidi memaklumkan bahawa cadangan penyediaan kemudahan Park and Ride di tapak berkenaan turut diberi perhatian, khususnya bagi menyokong keperluan mobiliti penduduk setempat.

Walau bagaimanapun, SPA pembangunan berkenaan yang menetapkan konsep pembangunan bercampur komersial (mixed commercial) tidak memperuntukkan secara khusus komponen Park and Ride.

“Namun begitu, pihak pelabur diwajibkan menyediakan bilangan petak parkir mencukupi serta kemudahan awam berkaitan, termasuk Hab Mobiliti yang bersesuaian, tertakluk kepada syarat dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sepanjang proses mendapatkan Kebenaran Merancang.

“Kerajaan Negeri berharap pembangunan semula itu dapat memberi nilai tambah kepada kawasan Seberang Jaya tanpa mengabaikan keperluan kemudahan awam, selain memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi dan perniagaan setempat,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS