Empat surau KADUN Pengkalan Kota terima peruntukan khas sambut Ramadan ikut normal baharu

Admin

PENGKALAN KOTA – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2,000 masing-masing kepada empat surau di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pengkalan Kota sebagai persiapan bulan Ramadan pada tahun ini.

ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen memberitahu perkara tersebut ketika menerima kunjungan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ke surau Ar- Raudah, Kompleks Pulau Mutiara, Lebuh Macallum di sini petang ini.

Dalam kunjungan tersebut, Kon Yeow menyertai ahli-ahli jawatankuasa surau mengedarkan 150 bungkusan nasi beriyani sebagai juadah berbuka puasa.

“Pada tahun sebelumnya, majlis berbuka puasa dianjurkan dari semasa ke semasa bersama-sama penduduk setempat yang beragama Islam di sini.

“Namun, pada tahun ini, kita berdepan normal baharu akibat pandemik COVID-19, justeru, kita buat inisiatif dengan mengedarkan juadah dari rumah ke rumah.

“Jumlah keseluruhan yang sudah diedar sebelum ini, termasuk hari ini adalah 800 bungkusan nasi bagi ‘menggantikan’ majlis berbuka puasa yang dianjurkan tahun-tahun sebelum ini,” ujar Zi Sen pada majlis berkaitan kepada Buletin Mutiara.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lebuh Macallum, Lee Heong Chun; Pengerusi MPKK Jalan Prangin, Ahmad Shahreazal Abdul Rashid dan Pengerusi Surau Ar- Raudah, Abdullah Abdul Rahman.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI